Jordan perkenal langkah rancakkan semula sektor pelancongan
AMMAN, 16 Jun — Jordan pada Isnin memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan kesan COVID-19 terhadap sektor pelancongan negara ini, lapor agensi berita Xinhua.
Langkah-langkah itu termasuk cukai jualan dikurangkan daripada 16 peratus menjadi lapan peratus, dan kerajaan memperuntukkan 150 juta dinar (sekitar US$210 juta) untuk membiayai program pelancongan.
Pinjaman dengan kadar bunga yang rendah juga ditawarkan, kata Menteri Pelancongan dan Kepurbaan Jordan, Majd Shwiekeh, dalam sidang media pada Isnin.
“Pelancongan antara sektor terpenting kepada ekonomi kita dan kini ia terjejas akibat krisis kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini Jordan bergantung kepada mempromosikan pelancongan domestik sehingga lapangan terbang dibuka semula.
Pada Isnin, 18 lagi kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 979.
China turut membantu Jordan dalam memerangi wabak itu dengan menyumbangkan bekalan perubatan.
— BERNAMA