Hormati ibu yang menyusukan anak
KUALA LUMPUR: Dasar kesamaan jantina membuka banyak peluang wanita meneroka bidang ekonomi serta sosial termasuk peluang perkembangan kerjaya.
Namun, bagaimana pula dengan hak wanita bergelar ibu yang menyusukan anak apabila mereka kembali bekerja selepas cuti bersalin dan perlu mengambil masa untuk ‘memerah susu’?
Di Malaysia, tidak ada masa diperuntukkan di bawah sebarang undang-undang untuk memberikan masa rehat bagi tujuan berkenaan.
Bagaimanapun, dalam sektor kerajaan dan swasta, ibu yang menyusui anak diketahui akan ‘menyelinap’ seketika ke satu tempat terlindung untuk ‘memerah susu’ dan kebanyakan ketua mereka seakan tutup mata untuk memastikan kesejahteraan pekerja mereka serta bayi masing-masing.
Namun, bukan semua majikan memahami keperluan wanita menyusui anak untuk mengambil sedikit masa untuk ‘memerah susu’, menyebabkan ramai wanita terpaksa menanggung kesakitan ‘bengkak susu kerana susu yang berlebihan tidak dikeluarkan’ sehingga anak mereka tidak dapat menikmati susu ibu.
Masa rehat untuk memerah susu adalah masa untuk pekerja yang juga menyusui anak memerah susu dengan bantuan pam.
(Susu ini lazimnya disimpan di dalam botol yang diletakkan di dalam peti sejuk dan dibawa pulang apabila habis waktu bekerja untuk diberi kepada bayi mereka.)
Sebagai contoh, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu undang-undang diluluskan pada 2014 yang memerlukan semua pejabat kerajaan menyediakan kemudahan yang diperlukan serta waktu memerah susu selama sejam untuk semua ibu yang menyusui bayi mereka.
Filipina juga mempunyai undang-undang sama yang memberikan hak kepada semua ibu yang menyusui bayi waktu rehat minimum 40 minit untuk memerah susu di tempat kerja mereka.
Profesional perubatan dan pihak yang menyokong penyusuan badan menggesa kerajaan untuk memasukkan masa rehat memerah susu ke dalam undang-undang berkaitan.
Ini akan menjadikan sebagai wajib untuk pemberian masa rehat bagi tujuan berkenaan dan memerlukan majikan menyediakan kemudahan bagi pekerja wanita yang menyusui bayi mereka.
Pinda undang-undang berkaitan
Peguam kanan Kitson Foong, berkata untuk mengiktiraf hak ibu bekerja untuk penyusuan badan, kerajaan boleh meminda undang-undang berkait dengan pekerja seperti Akta Kerja 1955, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta akta atau peraturan lain yang berkaitan.
“Pindaan berkenaan juga perlu meletakkan atau mewajibkan majikan menyediakan masa rehat memerah susu atau kemudahan diperlukan di pejabat bagi membolehkan ibu bekerja menggunakan hak berkenaan, dan kegagalan untuk mematuhi undang-undang berkenaan boleh menyebabkan tindakan undang-undang, ” jelasnya.
Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia perlu menerbitkan garis panduan jelas kepada majikan bagaimana mereka perlu memberi ruang kepada amalan penyusuan badan di tempat kerja masing-masing.
Di bawah Polisi Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia, ibu menyusui bayi digalakkan berbuat demikian untuk sekurang-kurangnya enam bulan.
Bagaimanapun, ramai ibu bekerja menghadapi masalah untuk kekal menyusui bayi apabila mereka kembali bekerja kerana kurang kemudahan dan masa untuk memerah susu.
Pengarah Urusan Asia Recruit, Damien Lim berkata, masa rehat memerah susu perlu diamalkan dalam semua industri, sama ada kerajaan atau swasta.
Peruntukan masa rehat itu, akan meningkatkan produktiviti pekerja berkenaan memandangkan kesihatan ibu dan bayi mereka yang baharu dilahirkan dilindungi dengan baik.
“Menyediakan masa rehat sebegitu dan kemudahan yang berkaitan bukan sahaja membantu mereka yang baharu bergelar ibu tetapi juga meningkatkan kesejahteraan diri mereka.
“Masa rehat itu juga menjadi tambahan faedah kepada pekerja boleh menaikkan moral mereka serta produktiviti dan mungkin juga mengurangkan berlakunya pekerja yang tidak datang bekerja,” tambahnya.
Pakar Perunding Pediatrik Prince Court Medical Centre, Dr Anna Padmavathy Soosai, majikan perlu menimbangkan masa rehat untuk memerah susu sebagai masa rehat penting untuk ibu yang menyusui bayi memandangkan ini juga menyumbang kepada kesihatan bayi yang baharu lahir.
Beliau berpandangan, pekerja yang menyusui badan bayi perlu diberi dua atau tiga masa rehat sehari, dengan setiap sesi sekurang-kurangnya setengah jam “kerana ibu perlu mengikut rentak penyusuan badan yang mereka amalkan”.
Menurut beliau, keengganan memberikan ibu menyusui bayi mereka hak untuk memerah susu akan menyebabkan ibu menanggung penyakit serius akibat tidak mengikuti rutin memerah susu.
“Susu badan akan berkurangan kerana payudara kurang dirangsang atau payudara ibu akan membengkak kerana mengandungi lebihan susu dan boleh mengakibatkan jangkitan dan amat menyakitkan.
Akhirnya, ibu tidak boleh bekerja dengan baik,” kata Dr Anna.
Memandangkan proses memerah susu perlu dilakukan dalam persekitaran yang bersih, syarikat perlu menyediakan ibu yang menyusui bayi kemudahan yang sempurna dan bukan mengarahkan mereka melakukannya di dalam bilik air.
“Jika persekitaran tidak bersih, tiada gunanya kerana si ibu akan memberi susu yang mungkin sudah tercemar kepada bayi mereka,” katanya.
Kelebihan penyusuan badan
Pegawai perubatan, Dr Intan Athirah Shaharin turut menyatakan sokongan beliau untuk mewajibkan masa rehat untuk memerah susu bagi ibu menyusu badan bayi mereka.
“Penyusuan susu ibu kepada bayi mempunyai banyak kelebihan untuk kedua-dua ibu dan bayi.
Susu ibu menyediakan nutrisi terbaik untuk bayi. Ia mengandungi antibodi untuk melawan jangkitan serta meningkatkan tambahan berat badan yang sihat.
“Penyusuan cara ini juga mengurangkan berlakunya sindrom kematian bayi secara mengejut.
Ibu juga akan mendapat manfaat kerana ia boleh membantu mereka mengurangkan berat badan, membantu mengecutkan rahim serta dan dapat menjalin hubungan erat ibu dan bayi, yang turut mengurangkan kemurungan selepas bersalin,” katanya.
Beberapa ibu yang menyusui bayi mereka berkongsi pengalaman pahit kerana tidak mendapat kemudahan ruang yang sesuai untuk memerah susu.
Salah seorang daripada mereka ialah guru sekolah rendah, Fatin Sabrina Sanuzi, 24, menjelaskan, di tempat kerja beliau tidak ada tempat sesuai untuk memerah susu dan tidak ada masa rehat diberikan untuk tujuan itu.
“Saya gunakan masa lapang saya untuk memerah susu dan ada kalanya saya lakukan semasa saya sedang makan,” katanya.
Seorang lagi yang menyusu badan bayi yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, beliau pernah bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan dengan sebuah platform membeli-belah dalam talian e-dagang tetapi berhenti kerja selepas majikannya mengarahkan beliau memerah susu di dalam bilik air.
“Saya kemudiannya terpaksa melakukannya di surau wanita tetapi rasa amat tidak selesa kerana payudara saya terdedah kepada wanita yang datang untuk solat.
“Bila saya minta masa rehat untuk memerah susu, ketua saya amat tidak senang dengan permintaan saya,” tambahnya.
Beliau kemudiannya mendapat kerja dengan sebuah syarikat yang memperuntukkan masa rehat 30 minit untuk memerah susu cuma ketuanya tidak memberikan banyak sokongan di dalam hal itu.
Tak banyak syarikat yang menganggap masa rehat untuk memerah susu itu penting.
“Saya berasa kecewa apabila ketua pasukan saya berkata beliau yang akan buat keputusan bila saya boleh ambil masa rehat untuk memerah susu dan tempoh masa untuk melakukannya.
Hanya seorang ibu itu tahu bila masanya untuk memerah susu dan berapa lama proses itu kerana ia bergantung kepada jumlah susu yang dihasilkan, ” katanya.
Beliau mendakwa, ketua pasukannya hanya memberi masa rehat 10 minit untuk memerah susu.
“Selepas beberapa perbincangan, ketua membenarkan saya membuat keputusan bila masa rehat untuk memerah susu berdasarkan peraturan syarikat.
“Tetapi membuatkan saya tidak selesa dengan bertanya dalam kumpulan kerja saya ke mana menghilang meskipun masa rehat itu sudah dimasukkan dalam jadual kerja,” tambahnya.
Bernama