Kehadiran Agong catat sejarah Peringatan Hari Polis
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), pagi ini
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kehadiran Yang di-Pertuan Agong adalah kali pertama dalam sejarah istiadat berkenaan.
Turut hadir adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Panglima Angkatan Tentera, Datuk Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 turut mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Deputi Superintendan Mohd Zulfadhi Zulkifli mengetuai 102 anggota kawalan kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia pada istiadat perbarisan, manakala seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah pelbagai jabatan polis dalam kumpulan.
Antara yang terbabit adalah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Istiadat turut membabitkan lintas hormat tiga buah helikopter di ruang udara membawa bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, pancaragam, persembahan pentomin peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu, deklamasi sajak dan lafaz ikrar setia.
BHOnline