Peralatan moden mudahkan memasak pada Ramadan
Ramadan bakal menjelang lagi. Umat Islam sudah bersiap sedia mengubah jadual harian untuk memanfaatkan segala kelebihan yang ‘ditawarkan’ Ilahi sepanjang bulan puasa.
Lantas, Ramadan menekankan pengurusan masa, termasuk melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya.
Juadah berbuka puasa tiada masalah. Makanan amat mudah dibeli di bazar Ramadan. Tetapi tidak semua yang mampu membelinya dan mungkin ada yang tidak sempat singgah di bazar.
Ada pula yang lebih gemar pada makanan yang dimasak segar di rumah. Apatah lagi jika yang masak itu ialah ibu.
Bagi yang bekerja dan memasak di rumah, jumlah yang diperlukan untuk memasak untuk berbuka dan bersahur menjadi perhitungan.
Beban ini boleh diringankan menggunakan pendekatan bersesuaian.
Beberapa tip dikongsikan mengikut tiga fasa: sebelum, ketika dan selepas memasak.
1. Sebelum memasak
Masakan kita kebanyakannya memerlukan tumisan atau rencah disediakan sebelum hidangan sebenar disediakan.
Ia boleh disediakan beberapa hari lebih awal dan disimpan sejuk. Di pasar raya, produk sebegini dipanggil Convenient Food Products (CFP).
Antaranya, produk sous vide, pes makanan segera, bawang yang siap didadu, halia kisar, sambal serba guna dan pelbagai produk sedia dimasak yang lain.
Sedar tak sedar, pilihan bagi CFP sebenarnya begitu banyak sehingga mencapai tahap rambang mata. Pelbagai teknologi pemprosesan digunakan untuk menghasilkan CFP.
Ada yang disimpan sejuk dan ada yang di simpan di suhu bilik. CFP diproses mengikut kaedah tertentu seperti retort (masak di suhu tinggi) atau dipasteur menggunakan tekanan tinggi kemudian disimpan sejuk untuk menjaga kualiti.
Sifatnya produk CFP ialah separa siap dan yang memasak hanya perlu menyambung beberapa langkah sahaja lagi sebelum makanan siap dimasak.
Senarai bahan mentah diperlukan serta masa memasak boleh dikurangkan.
Mungkin produk begini harganya mahal sedikit jika dibandingkan dengan kos bahan mentah dan usaha menyediakannya sendiri di rumah.
Walaupun begitu, ia harga yang dibayar untuk nilai ‘convenience’ merangkumi gabungan bahan mentah, tenaga dan masa.
Ada yang sangsi dengan deretan bahan tambah, pewarna dan sebagainya yang tertera di atas label pembungkus CFP.
Bahan tambah membantu menstabilkan makanan dan memanjangkan hayatnya untuk kemudahan pengguna.
Ada yang menggunakan bahan sintetik dan ada yang menggunakan bahan asli bagi tujuan ini. Pengusaha makanan perlu mematuhi Akta Makanan 1983 (Akta 281) yang akan memastikan makanan terproses selamat dimakan.
Akta ini melindung orang ramai dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan.
Sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan. Bacalah maklumat pada label pembungkusan dan buatlah perbandingan. Sambil membaca, jangan lupa untuk semak tarikh luputnya.
2. Ketika memasak
Penggunaan teknologi untuk memasak sudah menular ke dapur kebanyakan rakyat khususnya yang di bandar.
Sesetengah rumah dilengkapi dengan ketuhar pembakar, ketuhar gelombang mikro, pengukus elektrik, penggoreng udara dan periuk pelbagai fungsi.
Bagi memendekkan masa penyediaan makanan, penggunaan alatan secara serentak bersama dengan dapur konvensional adalah disarankan.
Sebelum itu, pastikan kita mengetahui cara menggunakan alatan tersebut dengan betul dan selamat.
Jangan pula periuk besi dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro!
Bagi tujuan penggunaan teknologi di dapur, menu makanan perlu dirancang awal supaya tugas memasak boleh diagihkan kepada alatan yang sesuai.
Sebagai contoh, ikan dinyahbeku menggunakan ketuhar gelombang mikro, kemudian di goreng di dalam penggoreng udara.
Nasi dan sayur dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro, manakala sup daging berasaskan perencah sup segera direbus menggunakan periuk pelbagai fungsi.
Sambal udang pula di tumis di atas dapur menggunakan pes tumis sedia-dimasak.
Menggunakan teknologi di dapur boleh memendekkan masa penyediaan makanan.
Memasak menggunakan ketuhar gelombang mikro memerlukan bekas kaca dan ini sesuai juga digunakan untuk menghidang.
Jadi, kita tidak perlu membasuh banyak bekas. Ada juga periuk pelbagai fungsi dilengkapi periuk cantik sesuai untuk dihidang sejurus selepas proses memasak.
Kesemua ini sememangnya membantu menjimatkan masa operasi di dapur.
3. Selepas memasak
Adakalanya, saiz hidangan makanan yang dimasak berlebihan dari keperluan. Simpanlah makanan berlebihan dalam bekas bertutup.
Pastikan bekas itu dilabel dengan nama makanan dan tarikh ia dimasak. Tujuannya ialah supaya kita boleh tahu secara pantas dan pasti tentang isi kandungannya bekas itu tanpa perlu dibuka bekasnya.
Pada Ramadan ini, peti sejuk sering diisi pelbagai juadah sehingga lupa apakah yang terkandung di dalam sesuatu bekas.
Maklumat tarikh pada label menunjukkan berapa lama ia sudah disimpan. Ini membantu kita membuat keputusan jika ianya masih boleh dimakan.
Biasakan diri melabel makanan yang disimpan di peti sejuk kerana ia maklumat yang berguna di kemudian hari. Cara yang paling mudah ialah menggunakan ‘marker pen’.
Letakkan kedua-duanya berdekatan dengan peti sejuk untuk memudah cara.
Memanaskan semula makanan lebihan secara betul sebelum dihidang ketika bersahur atau berbuka puasa bagi memastikan selamat dimakan.
Ketika memanaskan makanan menggunakan dapur konvensional, pergerakan tenaga haba bermula dari bahagian luar makanan ke bahagian dalam.
Sebaliknya, pemanasan ketuhar gelombang mikro bermula dari dalam makanan ke arah permukaan makanan bagi makanan yang tidak berkuah.
Melalui kaedah ini, lebih pantas tetapi terdapat elemen titik panas menyebabkan pemanasan tidak sekata.
Kesemua bahagian pepejal makanan perlu dipastikan sudah cukup pemanasannya.
Ketuhar ini memanaskan molekul air di dalam makanan, maka makanan yang berkuah dan berminyak akan lebih cepat panas berbanding makanan pepejal seperti kentang.
Pengurusan masa pada Ramadan amatlah penting. Jika urusan harian kita dirancang betul, keutamaan boleh diberikan kepada hal berkaitan ibadah.
Urusan penyediaan makanan boleh menyerap masa dan tenaga kita tetapi ia boleh diminimumkan jika dirancang kemas.
Bermula daripada merancang menu ke pembelian bahan mentah sehinggalah ke penggunaan CFP untuk membantu penyediaan makanan semuanya perlu diputuskan awal.
Kehadiran peralatan berasaskan teknologi di dapur perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Pengurusan makanan lebihan juga perlu diambilkira demi keselamatan kita.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Teknologi Makanan
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
BHOnline