10 hakim berdepan hukuman mati
Riyadh: Seramai 10 hakim bakal berdepan hukuman mati di Arab Saudi, atas tuduhan terlalu berlembut dalam kes membabitkan pejuang hak asasi manusia dan aktivis hak wanita.
Kesemua mereka didakwa mengkhianati kedudukan masing-masing apabila mengakui terlalu lembut dalam kes membabitkan keselamatan negara, lapor Mirror.
Hakim Abdullah Khaled al-Luhaidan dikatakan membenarkan pejuang hak wanita terkemuka, Loujain al-Hathloul, dibebaskan selepas menghadapi pertuduhan pada Disember 2020.
Loujain yang pernah berkongsi pentas One World dengan Meghan Markle sudah menjalani hukuman penjara dua tahun sepuluh bulan daripada keseluruhan hukuman enam tahun sebelum dibebaskan al-Luhaidan pada Februari 2021.
Seorang lagi hakim yang ditahan ialah Abdulaziz Medawi al-Jaber yang menjatuhi hukuman mati terhadap kanak-kanak bawah umur dan ramai lagi termasuk yang mati dalam hukuman gantung secara beramai-ramai pada Mac 2022.
Daripada hakim yang didakwa itu, enam dari Mahkamah Jenayah yang mendakwa kes keganasan manakala empat dari Mahkamah Tinggi.
Menurut Democracy for the Arab World Now (DAWN) yang berkempen untuk pembaharuan di Timur Tengah berkata, Putera Mahkota Mohammed Salman menggantikan hakim itu dengan hakim perbicaraan kes aktivis politik.
Mereka yang baharu dilantik mula meningkatkan hukuman secara mendadak terhadap dua wanita Arab Saudi kerana menggunakan media sosial.
Pengarah DAWN Cawangan Teluk, Abdullah Alaoudh berkata, tuduhan dilemparkan terhadap hakim itu yang kebanyakannya menjatuhkan hukuman terhadap warga Saudi atas arahan Putera Mahkota menunjukkan tiada siapa selamat di Arab Saudi.
“Pendakwaan hakim adalah lambang pembersihan Putera Mahkota dan percubaan menjadikan badan kehakiman tunduk kepada kehendaknya.
“Tiada apa yang dapat melindungi hak asasi warga Saudi untuk hidup bebas, malah tidak mematuhi perintah Putera Mahkota secara membuta tuli atau menjalankan kerja kotornya dengan menjatuhkan hukuman penjara panjang kepada pengkritiknya.
“Melalui pendakwaan hakim itu, mesej jelas menunjukkan mereka perlu bertindak kejam bagi mengelak mereka berdepan tindakan,” katanya.
Tahun lalu, seramai 138 individu dijatuhi hukuman mati meningkat berbanding tahun 2020 dan 2021.
DAWN diasaskan bersama oleh wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi yang dibunuh kumpulan serangan Saudi di konsulat negara itu di Istanbul.
METRO