Ferguson, Wenger sertai ‘Hall of Fame’ EPL
LONDON: Bekas pengendali Manchester United, Alex Ferguson dan bekas bos Arsenal, Arsene Wenger menjadi pengendali pertama menyertai ‘Hall of Fame’ Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris.
Kedua-dua pengendali itu bersaing sengit di era 90-an, memenangi 16 gelaran liga tertinggi Inggeris di antara mereka.
Ferguson, 81, menjadi pengendali paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, membawa Manchester United memenangi 13 gelaran, manakala Wenger memenangi kejohanan itu tiga kali bersama Arsenal, termasuk tidak tewas sepanjang musim 2003-04.
Ferguson, yang membimbing United lebih 26 tahun, memenangi gelaran sulung ketika Liga Perdana Inggeris diperkenalkan pada musim 1992-93 – kejayaan liga pertama Red Devils sejak tahun 1967.
Enam pemain di bawah kendalian Ferguson terlebih dahulu memasuki Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris – David Beckham, Eric Cantona, Roy Keane, Wayne Rooney, Peter Schmeichel dan Paul Scholes.
“Ia satu penghormatan apabila anda mendapat pengiktirafan seperti ini. Bagaimanapun, ia bukan tentang saya sebagai individu.
“Ia berkenaan tugas di Manchester United dan ikatan yang kami ada sepanjang tahun-tahun itu, jadi saya amat bangga untuk kelab, kakitangan dan pemain-pemain,” kata Ferguson yang bersara pada tahun 2013 selepas merangkul gelaran ke-13nya.
Wenger tiba di Arsenal pada tahun 1996 sebagai salah seorang pegendali dari luar negara di Liga Perdana Inggeris, kekal di kelab itu sehingga tahun 2018.
Pengendali dari Perancis itu menerapkan falsafah bola sepak berbeza, mementingkan soal pemakanan dan sains sukan dalam bola sepak Inggeris.
Dia komited dengan corak permainan menarik, menyerang, dan memenangi gelaran pada musim 1997-98, pada musim penuh pertamanya bersama kelab.
Wenger turut memanfaatkan pasaran perpindahan dengan mencari bakat dari luar negara, dua pemainnya dari Perancis – Thierry Henry dan Patrick Vieira turut tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris.
“Berkongsi pengiktirafan ini bersama Sir Alex adalah penghormatan yang besar buat saya. Ia seperti dua petinju – bertarung habis-habisan dan mencapai kejayaan bersama.
“Ia adalah peluang terbaik untuk bertemunya kembali dan mengimbau kenangan lalu,” kata Wenger yang kini menjadi ketua pembangunan bola sepak FIFA.
AFP