Trump tiba di New York untuk dihadapkan ke mahkamah
NEW YORK/PALM BEACH: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berlepas ke New York City semalam untuk berdepan pertuduhan berhubung pemberian wang sogokan kepada seorang pelakon filem lucah.
Trump dijangka menyerah diri di Pejabat Pendakwa Raya Manhattan hari ini, dan berkemungkinan cap jarinya akan diambil sebelum menghadap hakim dan mengaku tidak bersalah.
Ahli parti Republikan berusia 76 tahun itu yang mahu merebut jawatan Presiden AS sekali lagi tahun depan, adalah bekas Presiden AS pertama yang berdepan pertuduhan jenayah.
Pesawat peribadi dinaikinya yang berwarna merah, putih dan biru dengan tulisan TRUMP serta imej bendera AS, tiba di Lapangan Terbang LaGuardia di Queens selepas tiga jam setengah berlepas dari West Palm Beach berhampiran kediamannya di Florida.
Trump yang mengenakan sut dan tali leher merah dilihat berjalan sendirian menuruni tangga daripada pesawatnya sebelum menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan menuju ke Menara Trump di Manhattan.
Sebaik tiba di Menara Trump, beliau keluar daripada kenderaan dan melambai kepada orang ramai yang menunggu di belakang penghadang, sebelum berjalan masuk ke dalam bangunan itu tanpa sebarang komen.
Menjelang perbicaraan itu, Trump memperkuatkan pasukan guamannya dengan melantik Todd Blanche, peguam jenayah kolar putih terkemuka dan bekas pendakwa raya persekutuan, kata dua sumber yang maklum dengan perkara itu.
Terdahulu, Blunce serta peguam Trump yang lain menggesa hakim untuk menguatkuasakan larangan liputan video, foto dan radio ketika bekas Presiden AS itu dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Menerusi satu surat kepada mahkamah, pasukan guaman Trump memberi alasan liputan seumpamanya akan memburukkan suasana berkait kes itu yang sudah pun ‘umpama sarkas’ dan menjejaskan maruah serta kesopanan prosiding dan bilik mahkamah.
Hakim Juan Merchan dijangka membuat keputusan berhubung permintaan itu dalam waktu terdekat.
Sementara itu, pejabat pendakwa raya Manhattan, Alvin Bragg, memaklumkan akan menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan hakim, namun memaklumkan Merchan sudah mengehadkan jumlah rakaman foto ketika perbicaraan jenayah tahun lalu membabitkan syarikat hartanah milik Trump yang didakwa membuat penipuan cukai.
Sebelum ini, jemaah juri yang mengenakan pertuduhan pada Trump didedahkan dengan bukti selama beberapa bulan tahun ini, berhubung bayaran AS$130,000 (RM573,000) kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels menjelang kempen pilihan raya pada 2016.
Daniels mendakwa dibayar untuk menutup mulut mengenai hubungan seksnya dengan Trump di hotel Lake Tahoe pada 2016.
Trump menafikan memiliki sebarang bentuk hubungan dengan wanita itu. Ketika ini, pertuduhan terperinci terhadap Trump yang diputuskan jemaah juri belum didedahkan, namun Trump sebelum ini menegaskan beliau tidak bersalah dan menyifatkan pertuduhan itu bermotif politik.
REUTERS