‘B’ simbah asid ke muka teman wanita lepas, bebas

Oleh – Syeikh Baran


‘B’ simbah asid ke muka teman wanita lepas, bebas
Gambar Hiasan

Mahkamah Tinggi, di sini melepas dan membebaskan seorang lelaki hukuman penjara 12 tahun dan denda RM3,000 atas kesalahan menyimbah asid terhadap kekasihnya yang juga rakan sekerja sehingga menyebabkan kecederaan parah, lima tahun lalu.

Hakim Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Mohd. Nazarudin Najmudin, 53, apabila berpuas hati sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 6 Ogos 2021, tidak selamat untuk dikekalkan.



“Sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dikekalkan. Rayuan dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan serta denda jika telah dibayar, dikembalikan,” ujar Hakim Ab. Karim dalam penghakiman bertulis yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Hakim itu dalam penghakimannya berkata, perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan berhubung pengecaman terhadapnya. Ia yang mana pengecaman hanya dilakukan berdasarkan rambut di sisi kepala dan gaya lariannya selepas didakwa menyerang mangsa.

Selain itu, mahkamah turut berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana tidak menghargai sepenuhnya pembelaan alibi (keberadaan) yang dikemukakan perayu yang konsisten menyatakan bahawa dia tidak berada di tempat kejadian.

Sebaliknya perayu ketika itu terlibat dalam kemalangan di tempat berlainan iaitu di Batu 10, Jalan Cheras.



Mangsa pula ketika memberi keterangan berkata, gaya rambut dan cara penyerangnya berlari, sama seperti perayu manakala suspek berhenti ketika dia memanggil `B’ yang merujuk kepada nama panggilan kepada perayu.

Pada hari kejadian, ketika mangsa berjalan menuju kereta yang diparkir di Stesen LRT Pandan Indah, dia menerima panggilan telefon daripada perayu memaklumkan memaklumkan telah tiba di rumahnya di Kajang dan bertanyakan di mana mangsa berada.

Semasa mangsa membuka pintu kereta dia menoleh selepas terdengar seseorang datang dari arah belakang dan melihat seorang lelaki bertopi dan memakai pelitup muka.

“Lelaki itu kemudian menyimbah cecair ke arah muka mangsa dan terkena muka kiri, leher dan kedua-dua tangan manakala lelaki itu berlari menuju ke sebuah jambatan kecil.



“Mangsa yang kesakitan mengejar lelaki itu dan mengecamnya sebagai perayu melalui rambut di sisi kepala dan gaya larian sambil memanggil `B’. Hal itu menyebabkannya berhenti dan menoleh ke arah wanita itu sebelum terus melarikan diri,” demikian menurut penghakiman itu.

Mangsa kemudian memandu kereta ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan dan ditempatkan di zon merah kerana kecederaan serius dan dikategorikan mengalami kebakaran tahap kedua yang meninggalkan kesan parut kekal.

Mengikut pertuduhan Mohd. Nazarudin didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 32 tahun (ketika kejadian) di Jalan Pandan Indah 22, Pandan Indah di sini pukul 7.40 malam pada 25 Januari 2019.

Perayu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading