Sentimen pelabur goyah, Bursa Malaysia susut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pelabur berhati-hati berdasarkan data runcit Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, yang mungkin menunjukkan potensi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada masa depan.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.05 mata kepada 1,48714 daripada 1,488.19 pada Rabu.

Indeks utama dibuka rendah 0.35 mata kepada 1,487.84.



Suasana pasaran, bagaimanapun, positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 177 berbanding 158 manakala 258 kaunter tidak berubah, 1,620 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 314.58 juta unit bernilai RM127.34 juta

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pasaran saham AS ditutup tinggi berikutan Indeks Dow Jones meningkat 0.1 peratus, didorong oleh data jualan runcit yang kukuh yang berkembang 6.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023.

“Walaupun Wall Street mencatatkan tinggi semalaman, kami percaya sentimen global boleh terus goyah berdasarkan data runcit yang kukuh, yang mungkin menunjukkan potensi kenaikan kadar faedah oleh Fed pada masa depan.



“Bagaimanapun, dalam negara, pelabur dijangka positif sebelum musim pelaporan pendapatan dan pembentangan semula Belanjawan 2023 minggu depan,” katanya.

Dari aspek komoditi, firma itu berkata harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$85 setong manakala harga minyak sawit mentah berlegar melebihi RM3,900 satu tan.

Mengenai sektor, teknologi dijangka menjadi tumpuan apabila Nasdaq melepasi paras 12,000 semalaman.

“Selain itu, perbankan, telekomunikasi, REIT dan saham pengguna terpilih dijangka menjadi tumpuan dengan belian berterusan daripada dana asing,” katanya.



Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan 2.0 sen kepada RM8.78, Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing berkurangan 1.0 sen kepada RM4.17 dan RM8.21. CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing tidak berubah pada RM5.43 dan RM9.95.

Bagi saham aktif, MYEG merosot 1.5 sen kepada 68 sen, Iris berkurangan setengah sen kepada 11.5 sen. Hong Seng menambah setengah sen kepada 22 sen, Perdana Petroleum meningkat 1.0 sen kepada 19.5 sen manakala CSH Alliance tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.89 mata kepada 10,818.74, Indeks FBMT 100 berkurangan 8.44 mata kepada 10,485.04, Indeks FBM Emas Shariah susut 6.18 mata kepada 11,167.19 dan Indeks FBM 70 merosot 15.57 mata kepada 13,633.72. Indeks FBM ACE naik 9.12 mata kepada 5,719.96.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 5.70 mata kepada 6,908.60 dan Indeks Tenaga menambah 0.53 mata kepada 893.17. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.44 mata kepada 190.27 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 23.14 mata kepada 16,137.91.



-BERNAMA


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading