Warga asing rempuh pegawai Jabatan Imigresen semasa serbuan

 

Oleh Pena Merah

Warga asing rempuh pegawai Jabatan Imigresen semasa serbuan
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan dalam serbuan Op Selera dan Op Gegar di Seremban, semalam.-GAMBAR/JIM NEGERI SEMBILAN.

Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan cedera ringan setelah dirempuh seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri ketika serbuan Op Selera dan Op Gegar di empat lokasi di daerah ini, semalam.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi ke atas restoran dan pusat urut itu bermula sekitar pukul 9 pagi sehingga 7 malam terdiri daripada sepasukan 19 orang pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu.



“Semasa operasi di salah sebuah lokasi serbuan, seorang pegawai wanita mengalami kecederaan ringan setelah dirempuh oleh seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, pasukan JIM Negeri Sembilan telah berjaya menangkap lelaki tersebut di dalam kawasan semak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya hari ini.

Sementara itu, kata beliau, seramai 65 individu telah diperiksa dalam operasi itu dan seramai 47 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan.

“Ia membabitkan penahanan 34 orang lelaki dan tujuh orang wanita warga Myanmar serta dua orang wanita warga Thailand yang kesemuanya berumur di antara 17 tahun hingga 47 tahun,” jelasnya.



Menurut Kennith Tan, kesemua PATI yang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen itu telah dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak lima borang saman kepada saksi untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

SUMBER – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button