Israel tingkatkan serangan di Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Israel tingkatkan serangan di Gaza
Antara penduduk Palestin di empat zon di Beit Lahiya, dekat pinggir utara Gaza, yang diarah berpindah oleh tentera Israel. – Foto REUTERS

Serangan Israel ditingkatkan di seluruh Gaza dalam beberapa siri tembakan paling buruk dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut penduduk setempat yang terkepung.

Sehubungan itu, tentera Israel mengarahkan penduduk di utara berpindah segera, dengan memberi amaran kepada orang awam bahawa mereka berada dalam ‘zon tempur berbahaya’.



Serangan udara dan tembakan kereta kebal juga dilaporkan di kawasan tengah serta selatan Semenanjung Gaza dengan penduduk memberitahu, berlaku pengeboman tanpa henti dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Dalam catatan di platform media sosial X, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, menggesa penduduk empat zon di Beit Lahiya, dekat pinggir utara Gaza untuk berpindah ke dua kawasan yang ditetapkan.

Beliau berkata, tenteranya ‘akan melakukan tindakan lebih agresif terhadap infrastruktur musuhnya dan unsur subversif di rantau ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, tentera berkata, pihaknya ‘mengikut undang-undang antarabangsa dan mengambil langkah berjaga-jaga yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan bahaya dalam kalangan orang awam.



Serangan dan pengeboman yang terbaharu di utara Gaza berlaku hampir empat bulan selepas tentera Israel mengumumkan pengunduran tentera di sana, mendakwa Hamas tidak lagi menguasai kawasan terbabit.

Bulan ini, Israel turut mengundurkan sebahagian besar tenteranya di selatan Gaza, namun usaha ke arah gencatan senjata gagal.

Sebaliknya, pengeboman serta serbuan Israel ke atas wilayah di mana tenteranya telah berundur menyukarkan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal untuk kembali ke rumah mereka.

Kes pengeboman semalam berlaku selepas amaran roket dibunyikan di dua bandar sempadan selatan Israel, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Sayap bersenjata, Jihad Islam, sebuah kumpulan yang bersekutu dengan Hamas, mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas Sderot dan Nir Am, menunjukkan pejuang masih dapat melancarkan roket hampir 200 hari peperangan berlarutan.

Pergolakan itu meratakan sebahagian besar wilayah di Gaza dan mengakibatkan hampir kesemua penduduk, sekitar 2.3 juta orang, hilang tempat tinggal.

Sementara itu, Hamas berkata, Israel hanya mencapai ‘penghinaan dan kekalahan’ dengan siri serangan yang dilakukan.

Bercakap dalam video yang disiarkan televisyen Al Jazeera, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Ubaida menyeru menggesa peningkatan serangan di semua bahagian dan memuji Iran atas serangan langsung pertamanya terhadap Israel awal bulan ini.



Beliau turut berkata, Hamas berpegang kepada tuntutannya dalam rundingan gencatan senjata supaya Israel menamatkan perang secara kekal, menarik balik semua tenteranya dari Gaza dan membenarkan orang yang kehilangan tempat tinggal kembali ke utara.

Israel sebelum ini membantah gencatan senjata kekal, pihak mereka mendakwa ia hanya akan memberi ruang kepada Hamas berkuasa semula. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading