Sindiket sasar warga emas yang mahu melabur

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket sasar warga emas yang mahu melabur
HISHAMUDDIN (tengah) pada sidang media penipuan pelaburan saham. FOTO Genes Gulitah

Pesara kerajaan tidak menyangka pelaburan pertanian yang disertainya menerusi tawaran daripada pegawai pemasaran bank bertukar mimpi ngeri apabila menjadi mangsa penipuan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaimi, 60, berkata, dia diperkenalkan dengan skim pelaburan pertanian oleh pegawai pemasaran terbabit di sebuah bank di Batu Pahat, Jun tahun lalu.



“Melihat kepada penerangan serta semua urusan yang dibuat di bank, saya percaya ia adalah produk pelaburan secara sah daripada bank berkenaan.

“Saya ditawarkan dividen sebanyak tiga peratus daripada jumlah pelaburan setiap bulan. Saya tertarik untuk menyertai pelaburan ini kerana meminati pertanian dan percaya bidang itu boleh menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), di sini, hari ini, yang turut disertai Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.

Suhaimi berkata, dia menggunakan wang persaraannya sebanyak RM200,000 untuk menyertai pelaburan itu dan mula menerima dividen bulanan yang dijanjikan pada Julai tahun lalu.

“Setiap bulan, saya menerima RM6,000 sebagai dividen bulanan. Bagaimanapun enam bulan kemudian, tiada lagi bayaran dividen dibuat.



“Saya cuba menghubungi wakil syarikat dan membuat permohonan penarikan balik pelaburan, namun sehingga kini tiada jawapan daripada mereka,” katanya yang membuat laporan polis berhubung perkara itu pada Disember tahun lalu.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mokhtar, 68, berkata, dia terjebak menyertai pelaburan itu selepas didatangi seorang ejen semasa berada di rumahnya di Klang, Selangor pada Januari tahun lalu.

“Ejen itu juga membawa saya ke pejabat syarikat terbabit untuk menunjukkan antara produk pertanian yang diusahakan mereka.

“Perkara itu menyebabkan saya melabur menggunakan wang persaraan sebanyak RM100,000,” katanya.



Beliau yang juga pesara kerajaan berkata, dia sempat menerima wang dividen bulanan sebanyak tiga peratus iaitu RM3,000 seperti dijanjikan selama lapan bulan.

“Bagaimanapun selepas itu, tiada lagi bayaran dividen diterima. Saya kemudian membuat laporan dan kes itu kini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Dengan apa yang sudah berlaku ini, saya hanya minta supaya jumlah modal diberikan kepada syarikat itu dapat dikembalikan. Dividen tak dapat pun tak apa,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, modus operandi syarikat terbabit menyasarkan warga emas yang mahu menyertai pelaburan dengan berselindung di sebalik syarikat didaftarkan sebagai syarikat ‘Berhad.’



“Ramai mangsa tertipu dengan helah sindiket ini yang turut menggunakan pegawai pemasaran bank bagi mempromosikan pakej pelaburan mereka supaya ia nampak seolah-olah produk daripada pihak bank.

“Justeru itu, saya meminta pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Sekuriti (EC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan berhubung perkara ini agar tidak ada lagi mangsa terpedaya dengan helah sama,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading