SPRM ke Arab Saudi untuk sahkan surat derma Arab

Oleh – Syeikh Baran


SPRM ke Arab Saudi untuk sahkan surat derma Arab
Gambar Hiasan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada Arab Saudi untuk mendapatkan maklumat berhubung surat derma kepada Datuk Seri Najib Razak.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, yang memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-49, berkata bagaimanapun agensi penguatkuasaan itu tidak mendapat sebarang maklum balas mahupun kerjasama daripada negara berkenaan.



Beliau yang disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sehubungan itu, beberapa pegawai kanan SPRM pergi ke Arab Saudi untuk bertemu dengan dua putera Raja Arab yang memberikan keterangan melalui peguam mereka.

Saksi itu disoal balas mengenai surat derma daripada bekas Gabenor Wilayah Madinah Saud Abdulaziz Majid Al-Saud, iaitu sama ada SPRM menyoal siasat siapakah pemimpin negara Timur Tengah terbabit.

Nur Aida juga ditanya apakah tindakan yang diambil SPRM bagi memastikan surat derma berkenaan adalah tulen dan bukan satu penipuan.

Menurut saksi itu, beliau bukan salah seorang pegawai yang pergi ke Arab Saudi, yang terdiri daripada pegawai tinggi SPRM.



Beliau berkata, pegawai terbabit bertemu dengan dua putera raja di yang memberikan kenyataan melalui peguam mereka bahawa surat itu sememangnya daripada Al-Saud.

“Sama ada SPRM berpuas hati atau tidak dengan maklumat berkenaan, saya tidak bersetuju. Pertama, keterangan yang diambil bukan daripada Putera Al Saud sendiri dan tiada bukti bertulis yang menunjukkan salinan asal surat dan bukti yang menunjukkan ia sememangnya daripadanya (Putera Al-Saud),” katanya.

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dalam keterangan sebelum ini, berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam menyediakan surat pengesahan daripada Al-Saud bagi menyatakan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib Razak adalah derma dari Arab Saudi.

Loo berkata, kejadian itu berlaku di bilik Business Centre di Hotel Mayfair di London ketika Jho Low meminta beliau menemuinya pada awal 2015.



Saksi itu berkata, beliau melihat sekutu Jho Low itu menyiapkan draf surat derma berkenaan yang ketika itu belum mempunyai tandatangan dan beliau tidak pasti bila surat itu dihantar kepada Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading