Kemusnahan Gaza lebih teruk dari pengeboman bandar Dresden

Oleh – Syeikh Baran


Kemusnahan Gaza lebih teruk dari pengeboman bandar Dresden
PERBANDINGAN antara kemusnahan bandar Dresden di Jerman dalam Perang Dunia Kedua (foto kiri) berbanding kehancuran akibat pengeboman Israel selama tujuh bulan ke atas Gaza, Palestin. FOTO Agensi

Pengeboman Israel selama tujuh bulan ke atas Gaza menyebabkan kemusnahan lebih teruk berbanding pengeboman kontroversi bandar Dresden di Jerman menjelang akhir Perang Dunia Kedua, kata penganalisis imej satelit pada Selasa.

Arab News melaporkan hampir 75 peratus bangunan di Gaza City rosak atau musnah sepenuhnya, manakala lima hospital juga hancur.



Tiga hospital hanya sebahagiannya berfungsi, 408 sekolah daripada 563 rosak dan 53 musnah sepenuhnya, manakala lebih daripada 60 peratus masjid kini sudah menjadi tinggalan runtuhan.

“Kadar kemusnahan terpantas adalah dalam dua hingga tiga bulan pertama pengeboman,” kata Corey Scher, penganalisis imej satelit di City University of New York di Amerika Syarikat (AS) yang dipetik Arab News.

Corey berkata, kadar kerosakan ini tidak seperti apa yang dikaji sebelum ini kerana kemusnahannya lebih cepat meluas berbanding yang pernah dipetakan pihaknya.

Sebagai perbandingan, empat pengeboman dari udara di Dresden pada Februari 1945 memusnahkan hanya bawah 60 peratus daripada bangunan bandar itu.



Pada masa itu, pengebom AS dan British menjatuhkan lebih 3,900 tan bom yang memusnahkan lebih 6.5 kilometer persegi bandar itu dalam satu daripada tindakan perang yang paling kontroversi di dunia.

Sementara itu, di Gaza semalam, tentera Israel merampas kawasan sempadan Rafah antara Mesir serta kawasan enklaf itu.

Tentera rejim zionis turut menutup laluan bantuan penting dengan kereta kebal rejim kelihatan melalui kompleks lintasan dan bendera Israel dinaikkan di sebelah kawasan Gaza.

Kereta kebal turut melepaskan tembakan di Timur Rafah.



Menceritakan keadaan itu, seorang pelarian dari Gaza City, Emad Joudat, 55, berkata, tentera Israel sudah menjadi gila.

“Kereta kebal tentera zionis melepaskan peluru dan bom asap menutupi langit di kawasan kejiranan Al-Salam dan Jneinah.

“Saya kini sedang berfikir untuk bergerak ke utara lagi, mungkin ke kawasan tengah Gaza. Jika mereka (tentera) bergerak lebih jauh ke Rafah, ia akan menjadi ibu kepada segala pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Tindakan merampas kawasan lintasan Rafah itu berlaku walaupun beberapa minggu gesaan daripada sekutu dan badan antarabangsa supaya Israel menangguhkan serangan besar di bandar itu.



Sementara itu berlaku kekeliruan di Israel selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak cadangan kandungan usul gencatan senjata dipersetujui oleh Hamas pada malam Isnin.

Seorang pegawai Israel berkata rancangan itu hampir sama dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Israel sendiri pada akhir April, dengan beberapa pindaan kecil.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata pada Selasa bahawa rancangan gencatan senjata itu ‘jauh’ daripada tuntutan Israel.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button