Pengawal keselamatan curi duit dijel lima bulan

Oleh – Syeikh Baran


Pengawal keselamatan curi duit dijel lima bulan
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang milik sebuah kedai serbaneka dalam kejadian di sebuah bank daerah ini, Mac lalu. FOTO NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima bulan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang milik sebuah kedai serbaneka dalam kejadian di sebuah bank daerah ini, Mac lalu.

Tertuduh, Anis Abdul Aziz, 56, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.



Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mencuri wang tunai berjumlah RM2,190 milik syarikat My CU Retail Sdn. Bhd. di sebuah bank kira-kira pukul 2.53 petang, 31 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa iaitu pekerja wanita berusia 20 tahun telah berada di bank berkenaan bagi melakukan satu transaksi memasukkan wang tunai hasil jualan harian milik syarikat melalui Mesin Deposit Tunai (CDM) ke nombor akaun syarikat.

Bagaimanapun, semakan melalui penyata akaun bank syarikat mendapati tiada transaksi kemasukan wang pada tarikh tersebut dan mangsa telah membuat laporan polis.



Semakan kamera litar tertutup (CCTV) bank mendapati tertuduh semasa kejadian menggunakan baju kemeja berwarna ungu dan berseluar hitam telah mencuri wang tunai Milik syarikat mangsa yang pada masa kejadian telah cuba dimasukkan ke dalam CDM.

Wang tersebut telah habis digunakan oleh tertuduh untuk perbelanjaan harian.

Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunisa Zainudin.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button