Dua penguat kuasa ambil duit RM23,000 lepas suspek dadah

Oleh – Syeikh Baran


Dua penguat kuasa ambil duit RM23,000 lepas suspek dadah
Dua pegawai penguat kuasa sebuah unit beruniform tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk prosiding reman. FOTO ROSALWANI CHE SOH

Dua pegawai penguat kuasa sebuah unit beruniform direman empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah bernilai RM23,000 daripada suspek kes dadah sejak tahun lalu.

Perintah tahanan reman yang bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Mahkamah Majistret di sini.



Kedua-dua lelaki itu direman mengikut Seksyen Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 29 dan 40-an itu ditahan di pejabat mereka di Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 10 dan 11 malam tadi.

Menurutnya, mereka dipercayai meminta wang rasuah untuk melepaskan suspek kes berkaitan dadah sejak September tahun lalu sehingga April tahun ini.

“Suspek pertama dipercayai meminta dan menerima RM13,000 manakala suspek kedua pula menerima RM10,000.



“Wang tersebut diberikan sebagai dorongan untuk tidak menuduh pesalah di bawah Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hanya dituduh di bawah kesalahan air kencing dan alat digunakan untuk mengambil dadah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button