Harimau Malaya positif COVID-19

NEW YORK: Seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, di sini disahkan positif COVID-19, dipercayai tersebar melalui penjaga zoo berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala virus itu, lapor institusi terbabit, semalam.

Harimau diberi nama Nadia, 4, antara haiwan liar di zoo berkenaan mengalami batuk kering dan mungkin kes haiwan pertama dilaporkan sakit akibat dijangkiti COVID-19 daripada manusia.

Selain Nadia, seekor lagi harimau Malaya dinamakan Azul, dua ekor harimau Amur dan tiga singa Afrika turut dibimbangi dijangkiti COVID-19.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong dan seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemiliknya, namun tidak mengalami simptom yang signifikan.

Ketua Veterinari Zoo Bronx, Paul Calle, berkata pihaknya menguji haiwan ini dan masih melakukan penyelidikan mengenai COVID-19 untuk lebih memahami wabak ini.

“Walaupun haiwan liar ini didapati kurang selera makan, tetapi kami sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan laporan semasa daripada penjaganya.

“Setakat ini masih belum diketahui bagaimana wabak ini boleh menjangkiti harimau memandangkan setiap spesis akan memberikan tindak balas berbeza terhadap virus ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Zoo Bronx antara empat daripada zoo yang ditutup di New York sejak 16 Mac lalu apabila angka kematian melonjak kepada 4,000 orang di bandar raya itu.

Kes Nadia unik walaupun tiada simptom, tetapi didapati sakit selepas terdedah kepada seorang kakitangan yang positif.

“Ini kes jangkitan manusia ke haiwan yang pertama kami ketahui,” kata Paul.

Beliau berkata, pihak zoo akan kongsikan kajian mereka bersama zoo dan institusi lain dan berharap mendapat pemahaman yang lebih jelas.

Nadia menjalani ujian X-ray, ultrabunyi dan ujian darah untuk memahami penyakitnya sebelum menjalani ujian COVID-19 apabila melihat kepada situasi parah di bandar New York yang menjadi pusat penularan wabak itu di Amerika Syarikat.

Kajian setakat ini, bagaimanapun masih tiada bukti menunjukkan COVID-19 boleh berjangkit dari haiwan ke manusia. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker