Irfan susun strategi layak ke Olimpik

SEREMBAN: Selepas mempertahankan reputasinya selaku jaguh lempar cakera rantau ini dengan pingat emas Sukan SEA ke-30 di Filipina, Muhammad Irfan Shamsuddin mengimpikan cabaran lebih besar beraksi di temasya Sukan Olimpik tahun depan.

Jaguh lempar cakera itu turut menyifatkan penangguhan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga tahun depan kerana pandemik COVID-19 di seluruh dunia, suatu perkembangan baik buatnya.

“Sebagai atlet menjadi impian saya untuk beraksi di pentas Olimpik dan penangguhan temasya berprestij dunia itu sehingga tahun depan memberi peluang buat saya untuk membuat persiapan.



“Alhamdulillah, ada peluang buat saya menyusun strategi bagi meningkatkan lagi prestasi. Saya akan berusaha keras mendapatkan kelayakan beraksi di Olimpik. Sememangnya itu impian saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Irfan berkata, beliau sentiasa meneruskan latihan untuk memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Anak jati Negeri Sembilan itu mengakui, jadual dan program latihannya terpaksa dirombak susulan banyak kejohanan olahraga antarabangsa akan disertainya ditangguh atau dibatalkan kerana COVID-19.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, difahamkan Kejohanan Olahraga Dunia 2020 dijadualkan berlangsung di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat Ogos depan bakal ditangguhkan, manakala kedudukan Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2020 juga belum pasti.



Beliau bagaimanapun menyifatkan situasi itu sebagai positif kerana memberi peluang untuknya terus membuat persiapan.

“Jika sebelum ini sasaran pencapaian latihan adalah pada April bagi kelayakan Olimpik, tapi sekarang sudah kena tukar kerana temasya itu sudah ditangguhkan.

“Saya berharap dapat berada dalam kelompok terbaik untuk layak,” katanya.

Pada Sukan SEA lalu, Irfan melakukan catatan 57.29 meter untuk merangkul pingat emas sekali gus mempertahankan kejuaraan acara berkenaan.



 

https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2020/04/674226/irfan-susun-strategi-layak-ke-olimpik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button