COVID-19: Nilai pemain turun 10-20 peratus

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 dipercayai menjadi antara 10 hingga 20 peratus penyumbang kepada penurunan nilai pasaran pemain bola sepak termasuk bintang dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menyifatkan ketiadaan perlawanan akibat ditunda akibat COVID-19 menyaksikan nilai pasaran pemain jatuh.

Beliau yang sudah lebih 15 tahun bertindak sebagai ejen pemain bagaimanapun masih meletakkan faktor prestasi menjadi penyumbang utama kepada penilaian ‘tanda harga’ pemain.

“Memang ada kesan sedikit, tapi tidak secara langsung. Mungkin sebab ketiadaan perlawanan menyebabkan nilai pemain menurun. Namun, saya sudah semak ada juga nilai pemain yang tak turun seperti Lee Tuck (Terengganu FC) dan Romel Morales (Melaka).



“Tapi ada juga elemen lain yang mempengaruhi nilai pasaran pemain terutama prestasi semasa dan usia. Contohnya, kalau penyerang berapa dia jaringkan gol dan ada juga pemain yang berusia tidak turun harga kerana prestasi bagus.

“Jadi, kita tak boleh kata 100 peratus penurunan nilai itu disebabkan COVID-19. Cuma mungkin kesannya ada juga sedikit,” katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan COVID-19 bukan setakat menyebabkan pasukan bergelut dengan isu kewangan malah ia turut memberi kesan secara tidak langsung kepada pemain selepas nilai mereka ‘menjunam’.

Berdasarkan laman sesawang statistik bola sepak, Transfermarkt, beberapa pemain skuad Manchester City mengalami kejatuhan nilai antaranya Raheem Sterling daripada 144 juta pound (RM773 juta) kepada 115 juta pound (RM618 juta), Kevin De Bruyne (135 juta pound / RM725 juta kepada 108 juta pound / RM580 juta) dan Bernardo Silva (90 juta pound / RM436 juta kepada 72 juta pound / RM386 juta).



Bukan setakat liga besar dunia, namun liga kecil seperti Liga Super turut terkena tempias sama apabila kebanyakan pemain yang beraksi dalam saingan di negara ini dilihat mengalami kejatuhan nilai yang agak signifikan.

Berdasarkan semakan ke atas senarai 16 pemain teratas menerusi nilai semasa di Transfermarkt bagi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak menjadi ‘mangsa’ terburuk selepas nilai tujuh pemainnya susut daripada senarai terbabit.

Meskipun penyerang JDT, Diogo Santo mengekalkan status sebagai pemain termahal Liga Super namun nilainya susut daripada 800,000 Euro (RM3.7 juta) kepada 650,000 Euro (RM3.07 juta) diikuti Gonzalo Cabrera daripada 750,000 Euro (RM3.53 juta) kepada 600,000 Euro (RM2.82 juta).

Dua lagi pemain skuad Harimau Selatan iaitu Leandro Velazquez dan Mauricio masing masing jatuh 700,000 Euro (RM3.3 juta) kepada 550,000 Euro (RM2.6 juta) dan 600,000 Euro (RM2.82 juta) kepada 475,000 Euro (RM2.24 juta).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker