HASUT RAKYAT BERONTAK BANTAH PKP – KETUA PEMUDA UMNO RAUB BUAT LAPORAN POLIS

Ajak Rakyat Memberontak Arahan PKP, Tindakan Biadap Bakal Terima Padah

 

Kebebasan menggunakan platform media sosial seringkali disalahguna oleh segelintir netizen. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat perlu akur dengan arahan kerajaan bagi bersama membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Bagaimanapun ada juga yang cuba meremehkan arahan dan pihak yang ditugaskan bagi memastikan PKP dipatuhi rakyat. Berikutan satu status berbaur hasutan di facebook oleh satu akaun menggunakan nama Zahid Mamat, Ketua Pemuda Umno Raub Saudara Fadzli Kamal telah membuat satu laporan polis.

 

 

“Pagi ini, saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis di IPD Raub berhubung kenyataan Zahid Mamat yang dimuatnaik dalam Facebook group “Penduduk Raub”.

Saya rasa terpanggil sebab kenyataan ini memang biadap dan berbahaya.

Kenyataan Zahid Mamat ini memang terang-terangan berhasrat menghasut rakyat membenci pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kenyataan beliau juga berniat jahat dan bertujuan menimbulkan huru-hara serta keresahan dalam masyarakat kerana mengajak rakyat memberontak, memukul pihak keselamatan, melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berhimpun di jalanan.

Selain itu, kenyataan beliau juga jelas menghina pihak PDRM dan ATM kerana menggelarkan pihak keselamatan dengan gelaran ‘babi’.

Hakikatnya, terlalu besar pengorbanan pihak PDRM dan ATM sebagai barisan paling hadapan dalam tempoh PKP COVID-19 ini. Mereka sanggup berpanas dan berhujan 24 jam setiap hari di sekatan jalan raya; berkawal siang malam di semua pintu masuk sempadan negara; meronda di seluruh ceruk kampung, kawasan dan penempatan; semata-mata untuk memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Malah, mereka tidak dibenarkan bercuti sepanjang tempoh PKP ini. Berbulan-bulan lamanya tidak berkesempatan bertemu anak-anak dan isteri.

Mereka tidak pernah minta dipuji. Jauh sekali mengharapkan apa-apa balasan dan imbuhan. Tapi janganlah hina, keji dan pertikai tugas mereka yang tidak lain tidak bukan bertujuan memastikan kita seluruh rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera.

Belajar lah erti syukur dan berterima kasih. Jangan hanya tahu merungut dan mencari salah. Hargailah nyawa anda dan semua rakyat Malaysia dengan mematuhi arahan PKP dan jangan salahguna kebebasan media secara melulu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker