SULTAN JOHOR SUMBANG MESIN ‘VENTILATOR KEPADA HOSPITAL NEGERI JOHOR’

SULTAN IBRAHIM KURNIA SUMBANGAN VENTILATOR BAGI HOSPITAL DI JOHOR



DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital-hospital di negeri Johor.

Pada hari ini (11 April), Baginda Tuanku Sultan berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani.

DYMM Sultan Johor bertitah, sumbangan berkenaan disampaikan Baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).



“Bantuan ventilator yang kita sampaikan ini juga merupakan sumbangan daripada dermawan dan juga rakan-rakan saya lain.

“Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital-hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

“Ini merupakan kerjasama di antara saya, rakan-rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Baginda Tuanku Sultan bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh Johor mengikut keperluan oleh Pengarah Kesihatan Johor. 



“Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika musim penularan wabak COVID-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ, kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital-hospital,” titah Baginda Tuanku Sultan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button