Penghantar makanan didenda RM5,000 muat naik status palsu berkaitan COVID-19
KUALA LUMPUR, 20 April — Seorang penghantar makanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana memuat naik status palsu di aplikasi Whatsappnya menyatakan pekerja di sebuah kedai serbaneka positif COVID-19 yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Azwan Mohd Salleh, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 12 bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Tertuduh didakwa menaikkan status dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia melakukan kesalahan itu Desa Jaya, Gombak di sini pada pukul 7 malam semalam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pekerja kedai itu yang merupakan pengadu dalam kes ini telah melihat status aplikasi Whatsapp itu di telefon rakannya yang menyatakan pekerja di kedai itu positif COVID-19.
Pengadu kemudian bertanya kepada rakannya dari mana beliau mendapat status Whatsapp itu, rakannya memberitahu status itu diambil daripada tertuduh lalu pengadu membuat laporan polis menafikan status palsu itu.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan ketakutan dalam kalangan orang awam.
“Tertuduh sepatutnya berhati-hati dalam berkongsi status dari sumber yang sahih terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
— BERNAMA