Penipuan Penutup Hidung dan Mulut: Polis akan ambil tindakan tegas – Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 20 April — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan melakukan penipuan penjualan penutup hidung dan mulut semasa penularan COVID-19 pada masa ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata modus operandi penipuan tersebut dilakukan melalui media sosial dan juga secara bersemuka.
Beliau berkata kerugian akibat penipuan tersebut dianggarkan mencecah RM4.2 juta, dan beliau meminta orang ramai yang ingin membuat pembelian supaya lebih berwaspada.
“Pembeli juga boleh membuat semakan akaun bank penjual dahulu sebelum membuat pembayaran menerusi portal ‘Semakmule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata pembeli juga boleh menyemak status penjual dalam talian di laman web www.biztrust.ssm.com.my
Mengenai sanitasi awam, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima banyak permohonan daripada syarikat swasta yang ingin melaksanakannya sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat masing-masing.
“Kerajaan mengalu-alukan inisiatif ini, namun mereka perlu mengikut peraturan dan nasihat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan dipantau oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata sejak 30 Mac, sebanyak 2,790 operasi sanitasi awam dilaksanakan KPKT di 105 zon termasuk 40 zon merah.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata warganegara asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah atau permit dan ditahan kerana ingkar PKP, akan diambil tindakan sama seperti warganegara Malaysia iaitu ditahan, direman dan dihadapkan ke mahkamah.
“Bagi warga asing yang tiada dokumen perjalanan pula, mereka akan ditahan dan seterusnya dihantar ke depoh Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.
Ismail Sabri berkata sejak 18 Mac sehingga semalam, seramai 15,924 individu ditahan kerana melanggar PKP.
— BERNAMA