PKP: Pakar jangka tamat Jun jika pematuhan meningkat

Hebahkan !!!

a person sitting on a table: Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. Foto/NSTP/ROHANIS SHUKRI. © Provided by Berita Harian Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. Foto/NSTP/ROHANIS SHUKRI. ahmad.suhael@bh.com.myKUALA LUMPUR: Malaysia diunjurkan berada di landasan tepat untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19, seawal Jun depan.

Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, yakin perkara itu mampu dicapai dengan syarat, tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP dikekalkan, atau ditingkatkan sehingga menghampiri 100 peratus.

Namun, jika pematuhan PKP berkurangan atau kelonggaran yang terlalu banyak diberikan, beliau khuatir kes dan kluster baharu COVID-19 akan kembali meningkat, dan Malaysia hanya akan bebas daripada virus itu pada September depan.

“Berdasarkan tahap pematuhan PKP ketika ini, saya jangkakan kes COVID-19 boleh ditamatkan pada Jun atau Julai depan.

“Namun, jika PKP dilonggarkan atau tahap pematuhan berkurangan, saya khuatir kes jangkitan dan kluster baharu akan meningkat dengan lebih teruk berbanding sekarang.

“Sehubungan itu, kerajaan wajar meneliti beberapa aspek bagi memperketatkan pelaksanaan PKP serta meningkatkan tahap pematuhan, khususnya di zon merah,” katanya kepada BH, hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 13 daerah di tujuh negeri masih dikategorikan sebagai zon merah bagi kes aktif, dengan jumlah kes aktif yang direkodkan di semua kawasan itu adalah antara 44 hingga 196 kes.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dijadualkan berakhir Selasa depan, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu bermula 29 April hingga 12 Mei, selain tidak menolak kemungkinan ia dilanjutkan lagi selepas ini.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat menjelaskan, antara aspek yang boleh diperketatkan adalah melaksanakan larangan pergerakan terhadap semua jenis pengangkutan awam seperti bas, LRT dan MRT.

Jelasnya, ia kerana kenderaan awam tidak diperiksa ketat oleh pihak berkuasa seperti kenderaan lain yang perlu melalui beberapa siri sekatan jalan raya setiap hari.

“Aspek lain yang boleh diperketatkan adalah mengehadkan jumlah pekerja swasta yang boleh datang ke pejabat dalam sehari, mengehadkan pergerakan di negeri dan daerah dalam zon merah, serta memeriksa dan menyaring warga asing di semua lokasi kediaman mereka,” katanya.

Dr Sharifa Ezat bagaimanapun bersetuju jika sedikit kelonggaran PKP diberikan terhadap penduduk yang berada di zon hijau, seperti membenarkan beberapa perniagaan kembali beroperasi secara berfasa.

“Perniagaan di zon hijau boleh dibenarkan kembali beroperasi, khususnya membabitkan peniaga kecil, dengan syarat zon itu tiada kes baharu bagi tempoh 10 hingga 14 hari berturut-turut,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: