COVID-19: Kadar kebolehjangkitan kini kurang daripada satu

PUTRAJAYA, 24 April — Kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti kini kurang daripada satu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kaedah digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menentukan kuantiti kadar kebolehjangkitan penyakit itu adalah dengan menggunakan angka dikenali ‘RO’, yang disebut ‘R-Naught’ .

“RO sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kira-kira 3.55, yang bermaksud seorang individu akan menjangkiti 3.55 orang.

“Tetapi kini selepas 14 April, kami telah menurunkan RO kepada kurang saripada satu,” katanya dalam taklimat harian mengenai COVID-19, di sini, hari ini.



Dr Noor Hisham berkata kes kebolehjangkitan kini sebanyak 1,932 dan menurutnya pesakit terus dipantau di hospital.

Dr Noor Hisham berkata apa yang penting adalah orang ramai terus kekal di rumah untuk membantu negara mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti.

“Hari ini kes telah dikurangkan kepada kadar dua angka tetapi kami berharap dalam seminggu dua lagi, dapat dikurangkan lagi. Jika berjaya berbuat demikian, kita sebenarnya boleh mengawal jangkitan COVID-19  di hospital dan komuniti kita,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata KKM berupaya menguji 13,614 sampel sehari meningkat daripada 11,500 sebelum ini dan berusaha meningkatkan kapasiti kepada 16,385 sampel menerusi 43 makmal.



Katanya dua pusat iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam di Kota Kinabalu akan dipasang dengan mesin automatik daripada Beijing Genomics Institute (BGI), yang masing-masing berupaya meningkat kadar ujian kepada 5,000 dan 1,000 sehari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia sudah mampu memenuhi beberapa kriteria digariskan sebelum ini bagi menentukan sama ada PKP boleh ditamatkan, namun indikator yang sebaiknya adalah tiada kes positif baharu COVID-19 dilaporkan dan tiada penularan dalam komuniti.

Antara kriteria dicapai ketika ini, beliau berkata adalah penularan wabak dalam negara yang terkawal, serta usaha penguatkuasaan  lebih ketat di pintu-pintu masuk negara dan kemampuan sistem kesihatan seperti mengesan, menguji serta merawat COVID-19.

“Sekarang ini, kita lihat penggunaan katil (pesakit COVID-19) kurang 30 peratus, ICU (unit rawatan rapi) semakin berkurangan selain usaha melindungi golongan berisiko tinggi telahpun dan terus dilaksanakan,” katanya.



Tegas Dr Noor Hisham, normal baharu amalan langkah pencegahan dan kawalan seperti mencuci tangan dan jarak sosial penting untuk diteruskan bagi tempoh yang lebih lama antara enam hingga setahun.

“Kita belum ada vaksin (merawat COVID-19), satu-satunya vaksin yang kita ada sekarang adalah jarak sosial,” tambahnya.

Sebelum ini, KKM menggariskan enam kriteria untuk menamatkan PKP merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu dan kemampuan melaksana langkah pencegahan dalam komuniti.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button