COVID-19: Pengesanan kontak rapat secara aktif di Kota Samarahan , Sarawak mulai esok
KUCHING, 26 April — Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan melaksanakan pengesanan kes secara aktif bagi mencari kontak rapat COVID-19 di Kota Samarahan mulai esok hingga 30 April.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aktiviti pengesanan secara aktif itu akan diljalankan di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden.
“Melalui kaedah ini, ia dipanggil kaedah MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) bersasar, kita sasar kepada kes-kes yang telah pun dikesan sebagai kontak oleh kes-kes positif sebelum ini.
Kes-kes yang kita akan dapati itu, kalau mereka mempunyai gejala kita akan terus asingkan mereka dan kepada mereka yang tidak bergejala, kita akan mengambil sampel,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu taklimat di Pusat Jantung di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri negeri Dr Sim Hui Kian.
Dr Adham berkata 50 pasukan yang terdiri daripada 100 anggota petugas akan mengendalikan proses saringan serta mengenal pasti kontak aktif COVID-19 di dua kawasan perumahan terlibat.
“Kita akan pergi rumah ke rumah, kita dapat maklum kawasan yang terlibat melibatkan hampir 3,000 kes (3,000 sampel akan diambil) atau 3,000 individu yang cuba kita kesan. Kita sasar kepada yang mempunyai sejarah kontak rapat dan ia disasarkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah,” katanya.