Tarikh pergerakan merentas negeri belum ditetapkan – Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 26 April — Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.
Ismail Sabri berkata terdapat kekeliruan mengenai tarikh pergerakan tersebut apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa 1 sehingga 3 Mei adalah tarikh perjalanan dibenarkan bermula.
“Sebenarnya seperti yang saya sebutkan bahawa sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui temu janji di balai polis.
“Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh melaporkan ke balai-balai polis berdekatan melalui temu janji,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.
Ismail berkata kerajaan tidak hanya melihat isu pergerakan merentas negeri membabitkan mereka yang kini di kampung dan ingin pulang ke destinasi masing-masing sahaja tetapi turut melihat kekangan lain dalam isu tersebut.
Katanya banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan kerana masalah pergerakan itu bukan seperti isu membawa pulang pelajar di kampus ke kampung halaman masing-masing.
“Ia bukan kes yang jelas dan mudah tetapi melibatkan perkara yang besar seperti melibatkan kepulangan dari kampung ini, isunya banyak misalnya mereka yang tiada kenderaan untuk pulang, satu kenderaan lima orang misalnya (ia melanggar akta) kerana akta menetapkan iaitu satu pemandu sahaja. Jadi ini adalah antara perkara yang perlu diperhalusi,” katanya.
Selain itu Ismail Sabri berkata kerajaan juga mengambil maklum masalah yang dihadapi individu yang terkandas di bandar dan mahu pulang ke destinasi masing-masing.
Jelasnya ia susulan terdapat orang ramai bercuti di bandar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang telah mencadangkan beberapa SOP yang dibawa ke mesyuarat bersama MKN dan KKM.
“Selepas mereka mencadangkan SOP tersebut, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan. Selepas itu barulah tarikh pergerakan ditetapkan,” katanya.
— BERNAMA