Merokok dalam tandas pesawat: Pelancong China didenda RM6,000

TAWAU: Seorang pelancong warga China didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan merokok di dalam tandas pesawat, ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, 16 Januari lalu.

Li Jin Ming, 41, dari Wilayah Yunnan, China, membuat pengakuan itu selepas memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ferhansya Farene Mohd Ferdaus.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Jin Ming didapati merokok di dalam tandas D, dalam pesawat Air Asia AK5746 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) ke Lapangan Terbang Tawau pada jam 1.01 tengah hari, 16 Januari lalu.



Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 206 (2)(a) peraturan sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, pegawai pendakwa Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas alasan tindakannya boleh membahayakan keselamatan penumpang lain dalam pesawat, selain pengajaran serta menjaga kepentingan awam.

Tertuduh yang diwakili peguam Liew Hon Min bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan berikutan tidak memahami arahan larangan merokok di dalam pesawat yang diumumkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker