KENYATAAN MEDIA MENTERI PENGANGKUTAN 28 APRIL 2020 – PELABUHAN KEMBALI BEROPERASI SECARA NORMAL SEPANJANG TEMPOH PKP FASA KEEMPAT BERKUATKUASA 29 APRIL – 12 MEI 2020

Hebahkan !!!

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PENGANGKUTAN
28 APRIL 2020

PELABUHAN KEMBALI BEROPERASI SECARA NORMAL SEPANJANG TEMPOH PKP FASA KEEMPAT BERKUATKUASA 29 APRIL – 12 MEI 2020

Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengarahkan semua pengendali pelabuhan di seluruh negara supaya membenarkan mana-mana syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengikut polisi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan aktiviti import dan eksport mereka, berkuatkuasa 29 April 2020.

Tindakan ini selari dengan keputusan Kerajaan pada 28 April 2020 yang bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan serta kembali bangkit selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 sebagaimana cadangan MKN bagi menyelamatkan pekerjaan, mengembalikan pendapatan negara dan memberi keyakinan kepada pelabur. Bersandarkan keputusan ini, semua syarikat dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Walau bagaimanapun, syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi haruslah mematuhi garis panduan ketat demi menjamin kesihatan dan keselamatan para pekerja seperti mempraktikkan jarak sosial dan menitikberatkan soal kebersihan. Syarat ini turut dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti import dan eksport bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting (essential) dan tidak penting (non-essential) di pelabuhan yang akan dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.

Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan semasa pandemik COVID-19 untuk menentukan sama ada membenarkan penyambungan semula semua sektor ekonomi dan subsektor lain mengikut ketetapan MKN.

Baru-baru ini, Kementerian telah membenarkan kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan utama negara bagi Fasa Keempat yang bermula 20 April hingga 23 April 2020.

Kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan yang terlibat seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Labuan serta pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak telah berjaya mengalihkan kontena-kontena yang sesak di pelabuhan dengan cepat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan yang termaktub di bawah peraturan PKP.

Bagi prestasi pengendalian kontena import, terdapat beberapa pelabuhan yang mencatatkan prestasi pengendalian yang baik dan lancar berdasarkan kepada kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena (container yard) antara 20 hingga 50 peratus seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan. Sementara Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara (Northport) dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus.

Pelabuhan Barat (Westports) dan Tanjung Bruas pula mencatatkan kadar penggunaan lapangan kontena melebihi 70 peratus.

Bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan di bawah 50 peratus. Pelabuhan Barat (Westports) berada di antara 50 hingga 60 peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus.

Berdasarkan kepada pencapaian di atas, terdapat perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport di antara pelabuhan-pelabuhan yang mungkin dipengaruhi oleh faktor jumlah pengeluaran output daripada kilang-kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang tempoh PKP.

Kementerian akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan yang mempengaruhi syarikat-syarikat dalam tempoh PKP dan akan mengesyorkan polisi yang berupaya mengurangkan implikasi ekonomi.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN
28 APRIL 2020

Leave a Reply

%d bloggers like this: