Kenyataan Media Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng

Menghadiri sidang Parlimen memang tanggungjawab ahli Parlimen, bukan hanya untuk mengekalkan kerusi

Peringatan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke kepada semua Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei supaya “tidak kehilangan kerusi mereka” membangkitkan soalan, bukankah ini memang tanggungjawan mereka sebagai seorang Ahli Parlimen? Adakah peringatan Loke dibuat kerana ramai lagi Ahli Parlimen PH masih tidak bertaubat dan masih mahu main ponteng?

Sebagai wakil rakyat, adalah tanggungjawab hadir sidang parlimen untuk menyuarakan kehendak penduduk dari kawasan masing-masing. Jika kehadiran hanya didorong atas faktor “tidak mahu kehilangan kerusi”, maka mereka tidak layak diberi mandat rakyat.

Ia amat mengecewakan bahawa masih ada Ahli Parlimen yang memerlukan “peringatan” untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat seperti budak-budak sekolah, dan mendedahkan kualiti dan keikhlasan wakil rakyat dari PH.



Susulan peringatan Loke dan seruan Lim Kit Siang untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen, ia dijangka kehadiran ahli Parlimen PH akan mencapai rekod tertinggi sejak PRU14. Namun, jangan sesekali kehadiran mereka dibuat semata-mata untuk mengekalkan kerusi masing-masing, dan bukannya untuk menjadi suara rakyat.

Sepanjang tempoh 22 bulan PH mentadbir, kadar kehadiran menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen PH amat mengecewakan. Malah ada juga beberapa kali sidang Parlimen terpaksa ditangguh kerana tidak cukup korum. Apabila ditegur, alasan yang diberi pula adalah Dewan Rakyat terlalu sejuk atau ahli Parlimen terlalu penat.

Jelas dilihat dari sini PH telah mengambil mudah sokongan rakyat.

Dalam tempoh krisis ini, kelakuan Lim Kit Siang dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tidak terhenti-henti menggesa sebuah sidang tergempar Parlimen diadakan, ditambah pula dengan peringatan dari Anthony Loke, jelas membuktikan PH hanya mengutamakan agenda politik peribadi, dan kepentingan rakyat pula dibelakangkan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button