Kes tikam isteri, bapa mentua selesai

KAJANG: Polis menyifatkan kes seorang lelaki ditemui mati tergantung selepas menikam isteri dan bapa mentuanya di rumah mereka di Bangi, awal pagi semalam, selesai.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa iaitu wanita berusia 40-an dan bapanya berusia 64 tahun masih menerima rawatan di Hospital Serdang.

Menurutnya, setakat ini kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.

“Penyiasatan kes dianggap selesai apabila suspek gantung diri dan punca kejadian disebabkan perselisihan faham suami isteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Polis sebelum itu menerima laporan wanita terbabit yang datang bersama bapanya ke balai polis pada 12.03 tengah malam.

Menurut Mohd Zaid, mangsa mendakwa dipukul suami dengan kayu dan ditumbuk di kepala menyebabkan lebam berpunca daripada perselisihan faham isu kewangan.

Katanya, polis kemudian memanggil suspek ke balai polis selepas bapa mangsa meminta bantu menyelesaikan masalah berkenaan dan kedua-duanya cuba menyelesaikan secara damai serta kelihatan tenang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, suspek mengambil pisau lalu menikam mangsa dan bapa mentuanya sebelum suspek menggantung diri menggunakan cadar di kipas siling bilik tingkat bawah rumah mereka.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button