Pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pemerkasaan komuniti penting semasa PKPB

PUTRAJAYA, 2 Mei — Pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pemerkasaan komuniti perlu diberi perhatian dalam mengawal penularan COVID-19 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara berkenaan telah ditekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan pakar perundingan perubatan dari China.

Menyentuh aspek kesihatan, beliau berkata waktu perkhidmatan di hospital KKM mungkin boleh dilanjutkan sehingga hari minggu iaitu Sabtu dan Ahad bagi mengurangkan kesesakan pesakit di ruang menunggu untuk memastikan jarak sosial dapat diamalkan.



“Masa (perkhidmatan) juga akan dipanjangkan ke pukul 10 malam, jadi kita buat jarak dari segi janji temu,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata antara langkah boleh diambil dengan menjalankan perkhidmatan kesihatan dari rumah ke rumah selain mengeluarkan arahan bagi pesakit yang tiba awal di hospital supaya menunggu di dalam kereta atau kawasan lapang.

“Mungkin kita akan keluarkan arahan mereka yang datang awal kena duduk dalam kereta atau kena tunggu di kawasan lapang dulu sebelum masuk ke klinik untuk rawatan, jadi kita tak nak kesesakan dalam tempat menunggu,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Bagi aspek pengangkutan, Dr Noor Hisham berkata prosedur operasi standard (SOP) telah dikeluarkan KKM kepada sektor pengangkutan dan orang awam harus mengamalkan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta melaksanakan operasi sanitasi dengan lebih kerap.



Mengulas mengenai pemerkasaan komuniti, beliau berkata setiap rakyat harus bersama-sama menjalankan tanggungjawab sosial dan mempraktikkan amalan baharu bagi memastikan kes positif baharu tidak naik mendadak.

“Sekarang tempat paling selamat adalah rumah, jadi kita nasihatkan semua rakyat Malaysia kalau tidak ada keperluan untuk keluar, duduk di rumah,” kata beliau yang turut mengingatkan masyarakat perlu berhadapan virus ini dalam tempoh yang lama selagi vaksin belum ditemui.

Menyentuh mengenai vaksin iaitu ‘coronavac’ bagi COVID-19, beliau berkata perbincangan telah diadakan bersama China dan negara berkenaan bersetuju bagi menjadikan Malaysia sebagai tempat penyelidikan untuk kajian fasa ketiga.

“Kajian sekarang ini fasa kedua, tetapi mereka (China) akan siap kajian fasa kedua mungkin dalam November atau Disember dan bila selesai akan laksana kajian fasa ketiga dengan melihat keberkesanan vaksin tersebut di dalam manusia,” jelasnya ketika ditanya mengenai perkembangan ‘coronavac’ yang dihasilkan oleh China.



Sementara itu, beliau berkata KKM telah mengesan satu lagi kluster COVID-19 baharu membabitkan enam pelajar tahfiz di Lanchang, Pahang dan akan meneliti untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di madarasah terbabit.

“Kita telah menyaring 50 peratus daripada pelajar dan kakitangan di tahfiz itu dan mendapati, 4.7 peratus daripadanya positif. Mereka yang ada kontak rapat dengan enam yang positif ini juga akan dikuarantin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang keluar beriadah di taman awam yang mula dibuka semula Isnin ini, untuk mematuhi SOP digariskan KKM terutama mengamalkan jarak sosial.

“Taman itu luas kita boleh jarak, tapi kalau kita pergi secara berkumpulan (dengan) tiada penjarakan, kita boleh mengambil tindakan di bawah AKTA 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.



Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM menerima 50,000 kit ujian pantas atau ‘rapid test kit’, dan daripada jumlah itu 10,000 masing-masing diagihkan kepada Sabah dan Sarawak manakala bakinya diagihkan untuk kegunaan di sempadan di Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button