Suami guna Pas ‘Frontliner’ isteri untuk lepas SJR didenda RM1,000
KUALA LUMPUR, 5 Mei — Seorang pengurus restoran makanan segera yang gambarnya tular di media sosial kerana menggunakan pas barisan hadapan milik isterinya untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shukri Salim, 34, selepas dia mengaku bersalah bergerak dari Jalan Pasar, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menuju ke Domino’s Pizza Medan Putra, Alor Setar, Kedah pada 11.30 pagi, 16 April lepas, sewaktu PKP fasa ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira perbuatannya dilihat dengan sengaja melanggar PKP.
“Ketika majoriti rakyat Malaysia yang lain masih patuh untuk duduk di rumah, tindakan OKT ini dianggap ingin menggagalkan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sewaktu siasatan dan hadir ke mahkamah hari ini dari Pulau Pinang.
“Anak guam saya telah insaf dan memohon maaf atas perbuatannya,” katanya.
Difahamkan, kes itu tular kerana tertuduh membuat status dalam laman Facebooknya bahawa dia telah melepasi sekatan jalan raya kerana menggunakan pas barisan hadapan milik isterinya dan statusnya itu dibaca oleh seorang pegawai polis yang kemudiannya membuat laporan polis di sini.
Oleh sebab itu, tertuduh didakwa di mahkamah di sini.
— BERNAMA