ISU PELARIAN DAN PATI, MENGAPA ADA PIHAK TERTENTU BERI TEKANAN TERHADAP KERAJAAN AGAR HENTIKAN TINDAKAN ‘KEPUNG,SARING DAN USIR’?

Mengapa Risau Tangkapan Dan Penahanan Terhadap Pelarian Dan PATI

Secara tiba-tiba isu tangkapan serta penahanan terhadap PATI dan pelarian menjadi perhatian bukan sahaja di Malaysia malah dunia. Malah ada kalangan ahli politik begitu gusar akan tindakan yang dilakukan kerajaan seolah apa yang berlaku ini bersifat populis dan mahu mencari keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Apa yang dilakukan dalam isu PATI dan pelarian semasa negara menghadapi pandemik covid19 adalah tindakan tepat pada masanya walau cuba diberikan gambaran seolah kerajaan Malaysia bertindak zalim terhadap 2 golongan ini. 

Apa yang agak menarik ialah gesaan SUHAKAM terhadap kerajaan dalam isu ini. Kenyataan SUHAKAM mengenai perkara tersebut seperti mahu membela PATI dan Pelarian sedangkan kerajaan tidak membezakan layanan jika PATI atau mana mana pelarian dijangkiti covid19 semasa menerima rawatan.

Mengapa SUHAKAM menggesa tindakan diberhentikan? Adakah ada tekanan daripada mana-mana pihak terhadap SUHAKAM lantas menjadi medan bagi mempertikaikan usaha kerajaan? Jika diteliti gesaan ini, ada akta tertentu cuba digunakan bagi memberi tekanan agar semua tindakan samada ditangguhkan atau diberhentikan sama sekali. Ini menarik perdebatan mengenai penggunaan akta tersebut dalam kenyataan media SUHAKAM itu sendiri.

Dimana pula Hak Rakyat Malaysia yang bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu PATI, Pelarian dan kebarangkalian jangkitan serta sebaran penyakit berjangkit dan covid19? Ada beberapa kenyataan daripada ahli politik yang senada dengan SUHAKAM dalam isu ini hingga menimbulkan persoalan apa kaitan politik dengan tindakan yang diambil. Adakah ada kepentingan tertentu isu ini untuk dijadikan ‘modal politik’ atau sekadar mahu menjadi juara isu? Dalam satu laporan oleh sebuah portal, Menteri Kanan Dato Seri Ismail Sabri telahpun menjawap kritikan oleh pihak tertentu dalam hal berkenaan dan cukup rasanya jawapan itu difahami semua pihak.

Mungkinkah SUHAKAM atau mereka yang mengkritik tindakan kerajaan boleh memberi jawapan tangkapan pihak berkuasa terhadap sindiket Dallal yang dipercayai terlibat dalam pemerdagangan manusia? Malaysia bukan negara yang terlibat dengan Konvensyen Pelarian 1957 atau Protokol Pelarian 1967 untuk dijadikan ‘Penempatan Baru’ kepada pelarian dan PATI.Dengan bayaran mencecah RM15,000 pelarian dijanjikan untuk mendarat dengan selamat di Malaysia dan jaminan kehidupan yang lebih baik disediakan pihak UNHCR buat pelarian menjadikan Malaysia antara negara impian pelarian terutama Rohingya.

Tangkapan terbaru oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang terlibat dalam sindiket ‘Dallal’ mungkin boleh membuka mata SUHAKAM. Adalah lebih baik SUHAKAM memikirkan apa yang boleh disarankan kepada kerajaan untuk kebaikan rakyat Malaysia sebelum memikirkan masalah pelarian dan PATI. Mungkin SUHAKAM boleh mulakan dengan kes Adib dan kemudian memberi cadangan kepada kerajaan apa bentuk tindakan yang boleh dilakukan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker