Speaker tolak usul Shafie untuk undi percaya Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung usul undi percaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli.

Berdasarkan satu surat yang dilihat BH, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul itu kerana penjelasan yang dinyatakan dalam usul berkenaan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul Yang Berhormat ini dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat,” katanya dalam surat berkenaan yang ditujukan kepada Mohd Shafie.

Hari ini di Beluran, Sabah, Shafie mengesahkan surat yang tular sebelum ini berhubung usul dikemukakannya untuk satu undi percaya bahawa Tun Dr Mahathir mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat diadakan pada sidang akan datang, 18 Mei ini.



Walaupun tidak mengulas lanjut, Shafie mengiyakan mengenai surat beliau itu.

“Kita tunggulah bila sampai masanya, …itu sidang dewan, ini lawatan Terusan Sapi,” katanya dalam sidang media selepas melawat Ladang dan Kilang Padi di Beluran, hari ini.

Sebaik ditanya oleh wartawan sama ada beliau mengesahkan surat viral berkenaan, Mohd Shafie sempat menjawab ringkas, iya.

Satu surat bertarikh 1 Mei lalu ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkaitan dengan permohonan untuk membawa satu usul dan mengemukakan resolusi bagi membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi iaitu Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli dewan.



Menurut surat itu juga, permohonan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button