Remaja didakwa sebabkan kematian 2 pemotong rumput

Sungai Petani: Seorang remaja lelaki 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua pemotong rumput 7 Mei lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja terbabit didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pekerja pemotong rumput, Siouca Chakma, 21, warga Myanmar pada 11.10 pagi di Jalan Pintasan Semeling, 7 Mei lalu.



Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lagi pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Akter Kamal Hosen, 33, pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahazlinda Zahari.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan juga laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).



Terdahulu, tertuduh yang berpakaian sekolah tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani sambil ditemani ahli keluarga kira-kira 9 pagi.

Dalam kejadian pada 7 Mei lalu, remaja bawah umur memandu MPV milik bapanya sebelum merempuh dua pemotong rumput di Jalan Pintasan Semeling di sini.

Berikutan itu, mangsa pertama, Siouca Chakma meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala rakan sekerjanya Akter Kamal Hosen meninggal dunia Selasa ketika dirawat di hospital.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button