Tiga pemain Brighton positif COVID-19

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Brighton, Paul Barber merayu supaya Projek ‘Restart’ dibatalkan kerana mengancam nyawa selepas tiga pemain pasukan itu sah dijangkiti COVID-19.

Skuad The Seagulls mengesahkan seorang lagi pemain mereka dijangkiti virus itu hari ini, hanya seminggu sebelum pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka boleh kembali menjalani latihan berpasukan.

Barber berkata ‘meskipun pelbagai langkah sudah diambil beberapa minggu ini dan tiada pemain terbabit dengan latihan, namun terdapat pemain yang disahkan positif virus itu.’

Pasukan EPL kini sedang mencari jalan untuk menghabiskan baki 92 perlawanan dengan ada cadangan perlawanan berlangsung di venue neutral namun Barber menjelaskan nyawa pemain tetap dipertaruhkan.



Brighton antara enam pasukan yang enggan beraksi di venue berkecuali dan Barber memaklumkan kebimbangan kerana mereka akan kehilangan kelebihan beraksi di laman sendiri.

Barber juga menegaskan aksi di laman berkecuali tetap mengancam kesihatan dan keselamatan pemain berbanding aksi seperti biasa namun tanpa kehadiran penyokong.

“Kebiasaannya, pasukan perubatan lawan akan bergantung kepada pasukan perubatan tuan rumah untuk membimbing mereka jika ada masalah di atas padang.

“Kalau aksi di venue neutral, kita akan memaksa dua pasukan beraksi di tempat yang mereka tidak biasa. Pasukan perubatan tuan rumah tidak wujud kerana mereka berada bersama pasukan mereka.



“Ini tidak logik dan membahayakan. Kita perlu berhati-hati dan kalau tersilap langkah, ia boleh mengancam nyawa,” katanya. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button