ATM kenal pasti lorong tikus, tingkatkan rondaan menjelang Aidilfitri

KEPALA BATAS, 12 Mei — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan rondaan di sepanjang 240 kilometer sempadan negara dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Weng di Baling, Kedah menjelang sambutan Aidilfitri kira-kira-kira dua minggu lagi bagi memastikan tiada pencerobohan.

Panglima Enam Briged Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata pihaknya mengenal pasti laluan tikus baharu di sepanjang sempadan tersebut .

Pada masa ini 500 pegawai dan anggota ATM bertugas di sepanjang sempadan itu, katanya kepada pemberita  selepas Majlis Serah Terima Tugas Op Penawar bagi kawasan Seberang Perai di antara Pegawai Memerintah Rejimen Ke-3 Kor Amor Diraja Lt Kol Norazri Mohd Nor dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja Lt Kol Azmi Abdul Rahim.

Mohd Halim berkata selain kekuatan anggota, ATM turut menggunakan teknologi terkini termasuk pemantauan menerusi udara menggunakan dron bagi memastikan tiada pihak, khususnya pendatang asing tanpa izin membolosi sempadan negara.

Terdahulu pada majlis itu, beliau berkata seramai 300 anggota ATM daripada Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja ditugaskan membantu pihak polis menjalankan sekatan jalan raya dan rondaan serta pemeriksaan di tiga daerah di kawasan Seberang Perai.

Katanya mereka menggantikan anggota Rejimen Ke-3 Kor Amor Diraja yang sebelum ini telah bertugas di kawasan Seberang Perai bermula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hari ini.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker