Imigresen serbu Pasar Borong Kuala Lumpur, tahan 1,368 pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Seramai 1,368 pendatang tanpa izin termasuk kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur,  dekat sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi yang bermula dari pukul 6.30 pagi itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada 790 warga Myanmar diikuti Indonesia (421), Bangladesh (78), India (54), Pakistan (enam) dan bakinya lain-lain warganegara.

Menurutnya, warga asing yang ditahan itu juga terdiri daripada 1,009 orang lelaki, 261 orang wanita dan 98 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Seramai 7,551 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 1,368 warga asing ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.



Kawasan ini menjadi tumpuan lambakan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata semua warga asing yang ditahan disahkan negatif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan.

“Warga asing yang ditahan ini antaranya melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua mereka akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya,” katanya.



Katanya operasi yang disertai 1,136 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi itu meliputi zon dalam kawasan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button