Madrid atasi Valencia, Benzema cedera

MADRID: Real Madrid mengurangkan kelebihan Barcelona di persada La Liga kepada lima mata hasil kemenangan 2-0 mengatasi Valencia awal pagi tadi dengan gol dijaringkan Marco Asensio dan Vinicius Junior.

Pasangan berkenaan meledak dalam tempoh tiga minit babak kedua yang mengejutkan pelawat di Santiago Bernabeu, dan Valencia kemudiannya bermain 10 orang apabila Gabriel Paulista mengasari Vinicius.

Madrid mendominasi sepanjang perlawanan namun kapten, Karim Benzema dikeluarkan kerana kecederaan paha pada babak kedua manakala Eder Militao juga dikeluarkan kerana sebab sama.



Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengesahkan kecederaan Benzema “sangat ringan” tetapi Militao akan terlepas aksi Ahad ini berdepan Real Mallorca.

Perlawanan itu pasti diingati kerana kad merah Gabriel kerana kekasaran terhadap Vinicius, yang meledak gol ke-50 buat Madrid pada penampilan ke-200 pemain berusia 22 tahun itu.

“Kami perlu melindungi sedikit Vinicius, dia pemain yang baik, dia banyak menggelecek dan pertahanan tidak menyukainya,” kata penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois kepada DAZN.



“Kami perlukan Vini. Dalam banyak perlawanan dia sering dikasari. Saya gembira pengadil ada keberanian memberikan kad merah kepada Paulista.

“Bukan kerana dia Vini – jika kami melakukan seperti itu ia juga perlu dibuang padang.”

Jurulatih sementara Valencia, Voro, mengambil alih pasukan buat kali kelapan selepas pemergian Gennaro Gattuso Isnin lalu dan dia melalui perlawanan sukar berdepan juara bertahan itu.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button