Perintah gaji minimum RM1,500 diwartakan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini sudah diwartakan semalam.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 27 April 2022 itu dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan disiarkan di laman web rasmi Pejabat Peguam Negara hari ini.

Dokumen pewartaan itu bertajuk Perintah Gaji Minimum 2022 mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.



Berdasarkan dokumen itu, kadar gaji minimum dan kadar gaji bagi pekerja yang dibayar hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan dan sebagainya berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022.

Kadar gaji minimum yang kena dibayar kepada seseorang pekerja adalah sebanyak RM1,500 atau berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

Jika enam hari bekerja, pekerja itu harus dibayar RM57.69 sehari, RM69.23 sehari (lima hari bekerja) dan RM86.54 sehari (empat hari bekerja) dengan setiap jam bersamaan RM7.21.

Berhubung seseorang pekerja yang tidak dibayar gaji pokok, tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.



Berdasarkan Perkara 4(3)(a) dokumen berkenaan, perenggan itu terpakai bagi pekerja yang diambil bekerja oleh seseorang majikan yang menggaji lima orang pekerja atau lebih.

Perkara 4(3)(b) pula tanpa mengira bilangan pekerja diambil bekerja, majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) sebagaimana yang diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, kadar gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mengambil kurang daripada lima pekerja hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Kadar gaji minimum yang kena dibayar kepada seseorang pekerja mengikut kawasan tempat kerja bagi tempoh mulai 1 Mei hingga 31 Disember ini adalah RM1,200 bagi Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran dan RM1,100 bagi kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran.



Susulan pewartaan itu, Perintah Gaji Minimum 2020 dibatalkan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button