Dua lelaki, seorang wanita ditahan miliki senapang, dadah di Pasir Mas

KOTA BHARU, 14 Mei  — Polis Kelantan menahan dua lelaki dan seorang wanita warganegara Thailand selepas didapati memiliki selaras senapang dan sejumlah dadah dalam satu serbuan di Kampung Banggol Merbuk, Gual Sitok di Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, pasukan serbuan telah menahan suspek lelaki berusia 45 tahun dan wanita warga Thailand berusia 30 tahun itu dalam sebuah rumah di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam premis itu menemukan ketulan kristal dadah dan sebutir peluru di dalam poket sehelai seluar jeans sebelum suspek lelaki membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah dalam pembinaan berhampiran premis yang didiaminya dan pemeriksaan menemukan selaras senapang buatan Eropah dan puluhan butir peluru yang dibeli dari negara jiran.

“Selain itu, turut ditemukan 800 biji pil yaba, tiga botol heroin seberat 15 gram, satu paket syabu seberat 2.6 gram bernilai RM18,390. Kami turut menyita dua kenderaan dan enam motosikal yang dianggarkan berjumlah RM212,206 termasuk dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.



Beliau berkata susulan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya membuat tangkapan ke atas seorang pemuda berusia 27 tahun di kampung sama pada 7.40 malam bagi membantu siasatan.

Hasanuddin berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek lelaki, masing-masing mempunyai lima dan empat rekod lampau berkaitan dadah, dengan penglibatan wanita warga Thailand masih dalam siasatan.

“Soal siasat ke atas suspek mendapati dia menggunakan senapang berkenaan untuk mengawal aktiviti penjualan dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkap sehingga 19 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.



Dalam perkembangan berkaitan, Hasanuddin berkata pihaknya juga merampas tiga lagi senjata api dan sebilangan dadah dalam beberapa serbuan berasingan di Kota Bharu dan Bachok sejak 6 Mei lepas.

— BERNAMA




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading