FINAS tunggu kerajaan lulus SOP penggambaran

FINAS bakal mengumumkan keputusan sama ada syarikat produksi dibenar meneruskan penggambaran sepanjang PKPB berpandukan SOP ketat, tidak lama lagi. Foto Hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi syarikat produksi dalam menjalankan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, FINAS sedang menunggu kelulusan kerajaan dalam memberi kelonggaran kepada aktiviti penggambaran, sebelum diumumkan kepada semua penggiat industri sebaik kebenaran diperoleh.

FINAS dalam kenyataannya menyebut, pihaknya amat prihatin dengan situasi semasa dan mengambil inisiatif merangka SOP untuk dipatuhi syarikat produksi.

“SOP yang dicadangkan adalah untuk memastikan aspek kesihatan diutamakan dan terjamin dalam persekitaran, seterusnya dapat mengurangkan risiko kesihatan bagi mengelak perkhidmatan kesihatan negara dibebani sehingga tahap di luar kawalan,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.



Kenyataan itu menyebut, selaras pengumuman kerajaan yang melanjutkan tempoh PKPB sehingga 9 Jun ini, FINAS memahami keluhan penggiat industri yang mahu diberi kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB.

“Ini adalah susulan daripada semua aktiviti membabitkan penggambaran terpaksa diberhentikan serta-merta.

“Ini menyaksikan kesan langsung khususnya kepada penggiat industri daripada aspek ekonomi sepanjang PKP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli persatuan perfileman yang terjejas akibat wabak COVID-19.



“Objektif utama pemberian sumbangan adalah sebagai inisiatif dan galakan kerajaan untuk membantu meringankan beban penggiat industri dalam aspek pembelian barang keperluan harian.

“FINAS sentiasa menyokong dan bersama-sama pihak industri dalam menangani isu ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama FINAS untuk mematuhi keputusan kerajaan demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan semua pihak termasuk penggiat industri kreatif tanah air,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button