Isu bantuan artis insafkan Nabil

KUALA LUMPUR: Panas dikecam netizen atas kontroversi bantuan untuk artis, menjentik kesedaran dalam diri pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad.

Mengaku apa yang berlaku sebagai pengajaran terbesar dalam hidup, Nabil mendedahkan, kontroversi itu menjadi titik tolak untuk dia memperbaiki tahap keimanan dalam diri.

“Saya sudah lama menerima hakikat bahawa kontroversi adalah sebahagian daripada kerjaya sebagai anak seni.

“Selagi bergelar artis, sampai bila-bilalah saya kena hadap perkara ini. Cuma apa yang saya nampak, kontroversi itu mendidik saya untuk lebih dekat dengan Tuhan dan al-Quran.



“Sebenarnya, saya bersyukur dengan isu yang tercetus itu. Secara tidak langsung, ia menjentik kesedaran dalam diri ini.

“Menurut seorang ustaz, jika kita seronok dengan pujian yang diberi dan kecewa dengan penghinaan, itu maknanya tahap keimanan kita masih lemah.

“Kenyataan itu bagaikan suatu tamparan buat saya. Ternyata, insiden itu mengubah perspektif saya untuk tidak terus hanyut dengan pujian dan rasa gundah apabila dikecam,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 2008 itu terseret dengan kontroversi isu permohonan Bantuan pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk penggiat seni yang menjadi pertikaian netizen.



Dalam perkembangan lain, Juara Raja Lawak musim kedua itu meluahkan rasa syukur kerana rezekinya tidak pernah putus walaupun industri hiburan terkesan dengan penularan COVID-19.

“Saya percaya dengan konsep bersedekah. Lagi banyak kita memberi, insya-Allah akan ada rezeki lain Tuhan bagi.

“Alhamdulillah, jadual kerja saya sangat padat walaupun dalam tempoh PKP.

“Malah, setiap hari sehinggalah hari kelapan Aidilfitri, ada sahaja program yang perlu dijayakan,” katanya yang sudah tujuh tahun menjadi duta baju Melayu Jakel.



Nabil ditemui pada majlis sidang media kempen Jakel Barulah Raya 2020 di Jakel Mall di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar dan duta jenama tekstil terkenal itu, Datuk Aaron Aziz.

Pada majlis itu, media diperkenalkan dengan duta baharu Jakel untuk kategori baju Melayu bersaiz besar iaitu pengacara dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button