Empat lagi ditahan jadi perantara sindiket

Oleh – Syeikh Baran


Empat lagi ditahan jadi perantara sindiket
Suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman, hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat lagi individu termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki menjadi perantara untuk memberi rasuah bagi penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.



Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an hingga 50-an ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Kesemua suspek dipercayai telah menjadi perantara sindiket untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan.

“Wang rasuah daripada sindiket ini dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam yang terbabit,” katanya tadi.

Reman terhadap suspek adalah susulan operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin.



Menerusi operasi itu, seramai lapan individu telah ditahan dan empat daripadanya telah direman semalam.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Semalam, Kosmo! melaporkan, SPRM menahan reman empat penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak.

Menurut sumber SPRM, sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam.



Ia bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain melalui pintu masuk negara.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button