43 terlibat parti liar ditahan di Kota Tinggi

JOHOR BAHRU, 17 Mei — Seramai 43 individu ditahan kerana terlibat dalam parti liar di sebuah rumah penginapan inap desa di Taman Sri Penawar, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata, 32 lelaki dan 11 wanita berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun itu, ditahan pada pukul 2 pagi oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Bandar Penawar, dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Menerusi semakan, empat daripada 43 yang ditahan didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Hasil saringan awal air kencing juga mendapati 31 daripada yang ditahan adalah positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mereka yang ditahan juga didapati bukan sahaja berasal dari Kota Tinggi tetapi juga dari daerah Johor Bahru.



Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1)(C) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker