Empat beradik kemalangan, dua maut

BANDAR PERMAISURI, 17 Mei  — Dua beradik perempuan maut manakala dua lagi cedera parah, selepas kereta yang dinaiki empat beradik, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kampung Bintang, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang itu mengakibatkan Amirah Faqihah Azman, 18, yang memandu kereta Perodua Bezza dan adiknya, Aishah Asmaa,14, yang berada di tempat duduk belakang sebelah kanan kereta, tersepit dan maut di tempat kejadian.

Dua adik-beradik lelaki mereka pula Aidil Wajdi, 17, dan Arif Muzammil, 16, cedera parah dan kini menerima rawatan di zon merah di Hospital Setiu.

“Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki empat beradik itu secara tiba-tiba keluar simpang dari Kampung Bahagia dan pemandu treler dari arah Kota Bharu menghala ke Kuantan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi kanan kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3 petang dan seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera, sebuah van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dan bahagian belakang sisi kanan kenderaan, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button