Shuk rela tak balik kampung

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar rela tidak pulang ke kampung halaman di Bukit Mertajam, Pulau Pinang demi keselamatan orang tuanya.

Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 34, berkata, hatinya cukup bersedih tak dapat mencium tangan ibu bapanya memohon kemaafan pada pagi raya, tetapi itu adalah keputusan terbaik pada saat berdepan wabak COVID-19.

Pengacara I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) itu berkata, kawasan Bukit Mertajam kini berada dalam zon hijau, jadi dia tidak mahu mencemarkan rekod hijau bebas virus berkenaan.

“Kami hanya dua beradik sahaja, kebetulan kami tinggal di Kuala Lumpur. Tak dapatlah kami pulang berhari raya dengan ibu bapa memandangkan kerajaan juga tidak membenarkan merentas negeri.



“Saya berfikiran positif, tidak mengapa kena berkorban saat ini. Lagi pula, saya tidak mahu mendatangkan risiko kepada ibu bapanya yang sudah tua. Selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya boleh pulang menjenguk mereka dalam keadaan selamat.

“Tak beraya pun tidak mengapa, kita masih boleh meraikan Aidiladha untuk diraikan bersama keluarga. Lagipun, saya tidak risau sangat kerana ibu bapa ditemani dua ibu saudara yang menetap bersama mereka,” katanya kepada BH Online.

Shuk berkata, tahun ini, gilirannya pulang ke kampung halaman isteri di Sandakan, Sabah, tetapi disebabkan PKPB, segala perancangan terpaksa dibatalkan.

“Secara kebetulan, ibu mentua baru sahaja pulang selepas terkandas di Kuala Lumpur hampir dua bulan. Jadi, kuranglah sikit kerinduan isteri pada keluarganya.



“Ibu mentua dan adik ipar datang ke sini bagi menjenguk anak kedua kami yang dilahirkan pada Julai lalu. Mereka hanya berkesempatan menjenguk selepas anak berusia sembilan bulan. Tiba ke sini, terkandas pula.

“Akhirnya, ibu mentua dapat pulang ke Sabah ketika pergerakan rentas negeri diizinkan kerajaan bermula 7 Mei lalu,” katanya.

Mengulas kerjaya sebagai penyampai Hot FM yang kini memasuki tahun keempat, Shuk mengakui bersyukur khidmat bersama stesen radio milik Media Prima Berhad itu masih diperlukan.

Lebih lagi, katanya, ramai yang terkesan dan kehilangan punca pendapatan terutama mereka yang makan gaji harian.



“Saya bernasib baik memiliki pendapatan tetap, setiap bulan. Jika tidak, saya pasti runsing apabila banyak undangan persembahan dibatalkan sepanjang PKP dan Ramadan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat memiliki pekerjaan tetap. Pendapatan yang diperoleh menerusi Hot FM digunakan membayar komitmen bulanan.

“Mujurlah diberi kepercayaan Hot FM, jika tidak apalah nasib saya pada musim PKP ini. Saya juga tak dapat membayangkan nasib peniaga kecil, begitu nasib rakan-rakan dalam bidang seni,” katanya.

Pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit dan Keranda Tok Wan Terbang berkata, setakat ini, tidak ada pula yang mengadu dalam kesusahan, kebanyakannya tidak duduk diam.



“Ada yang mula berjinak-jinak menjalankan perniagaan seperti menjual kek, air dan sebagainya demi kelangsungan hidup. Kedudukan saya pun tidak pasti macam mana, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

“Saya akui ada sedikit kebimbangan, tetapi selagi masih diperlukan, saya akan terus bekerja dengan sebaik mungkin,” kata juara Bintang Mencari Bintang, tahun lalu.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button