Van Gaal lebih baik daripada Ferguson

LONDON: Wayne Rooney mendedahkan dia belajar lebih banyak mengenai bola sepak dalam tempoh dua tahun bersama Louis van Gaal berbanding sembilan tahun dengan Sir Alex Ferguson di Old Trafford.

Menurut Daily Mirror, legenda Red Devils kecewa apabila pengendali dari Belanda itu dipecat pengurusan tertinggi United.

“Dalam tempoh dua tahun itu, saya belajar banyak perkara berbanding pengurus lain.

“Saya kecewa apabila Louis dipecat. Bagi saya, sangat seronok bekerja dengannya. Kami seharusnya kekalkan dia untuk musim ketiga.

“Sudah pasti kami akan jadi pasukan yang lebih kuat. Kami bertambah baik dan pemain mula memahami apa yang dia mahukan.

“Sebab itulah saya begitu menghargainya. Bukan hanya kerana dia menjadikan saya kapten tetapi atas kepercayaan dan keyakinannya terhadap saya.”

Dalam masa sama, Rooney yang kini menjadi jurulatih dan pemain Derby percaya taktikal, kejurulatihan dan pengurusan Van Gaal lebih baik berbanding Ferguson, Roy Hodgson dan Sven Goran Eriksson.

Dia juga berpendapat tempoh Van Gaal di Old Trafford ‘dicemari’ dengan beberapa siri kecederaan pemain.

“Kami bukanlah pasukan terbaik dalam liga ketika itu tetapi memburukkan keadaan apabila 12 pemain kami mengalami kecederaan.

“Namun bekerja dengan Van Gaal sememangnya pengalaman yang tidak ternilai. Tiada contoh lain yang terbaik selain dia,” katanya. – Agensi

Leave a Reply