Bomba Terengganu laksana 486 operasi nyah cemar di lokasi tumpuan awam

KUALA TERENGGANU, 20 Mei  — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu melaksanakan 486 proses nyah cemar di lokasi tumpuan ramai bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di negeri itu sejak 30 Mac lepas.

Pengarah JBPM negeri Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata daripada 486 operasi itu, daerah Kemaman merekodkan proses tertinggi melibatkan 130 lokasi diikuti Kuala Terengganu (116), Setiu (78), Dungun (72), Marang (38), Besut (30), Hulu Terengganu (12) dan Kuala Nerus (10).

“Operasi nyah cemar ini tertumpu di kawasan sangat berisiko berlakunya jangkitan wabak ini seperti di pasar awam, pasar raya, pejabat kerajaan serta kenderaan yang membawa pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pergerakan pulang dan balik ke Terengganu baru-baru ini.

“Pada masa ini kita juga sudah mulakan proses nyah cemar di beberapa masjid terpilih dalam pelaksanaan solat Jumaat pada 22 Mei ini sebagai persediaan bagi memastikan keselamatan jemaah yang hadir nanti,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.



Baru-baru ini, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan bermula Jumaat ini dengan syarat yang ketat.

Syarat ditetapkan adalah hanya satu masjid dibenarkan untuk diadakan solat Jumaat bagi satu daerah dan bilangan ahli jemaah hendaklah tidak melebihi 40 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata JBPM Terengganu merekodkan 256 panggilan kebakaran, penyelamatan dan tugas-tugas khas yang lain sejak 1 Mei lepas, penurunan agak ketara berbanding 355 panggilan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Selain itu, kita dapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas juga membantu dalam mengurangkan jumlah kebakaran terbuka di kawasan belukar dan hutan iaitu hanya 710 berbanding 1,397 kes dalam tempoh sama tahun lepas.



“Saya berharap penduduk Terengganu terus mengurangkan aktiviti di luar sepanjang tempoh PKPB ini kerana sedikit kecuaian boleh menyebabkan berlakunya kebakaran terbuka berikutan cuaca panas ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker